Malaysia tuan rumah kelayakan Piala Asia pada Jun

0
736

SKUAD Harimau Malaya kini mempunyai peluang terbaik untuk layak ke Piala Asia 2023 di China dengan kelebihan di tempat sendiri, selepas Malaysia dipilih sebagai satu daripada enam tuan rumah untuk pusingan akhir kelayakan pada Jun.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kenyataannya pada Isnin turut menyenaraikan India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan sebagai tuan rumah bagi kelayakan untuk menentukan baki 11 pasukan yang akan mara ke Pusingan Akhir yang akan diadakan di 10 bandar di China.

China dan 12 pasukan terbaik dari pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 telah telah menempah tempat mereka, termasuk juara bertahan Qatar, Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Arab Saudi dan Australia.

Kini dalam kelayakan pusingan akhir, 24 negara bersedia untuk merebut 11 tempat dalam perlawanan yang ditetapkan pada 8, 11 dan 14 Jun, dengan hanya pemenang enam kumpulan dan lima naib juara terbaik akan mara.

Undian akan diadakan pada 24 Februari secara maya di Rumah AFC di Bukit Jalil, dan pasukan akan dibahagikan kepada lima balang mengikut ranking FIFA 10 Feb.

Balang 1 akan terdiri daripada Uzbekistan, Kyrgyzstan, India, Bahrain, Jordan dan Palestin manakala Thailand, Tajikistan, Filipina, Turkmenistan dan Hong Kong dalam balang 2.

Malaysia bersama-sama Afghanistan, Yemen, Myanmar, Maldives dan Indonesia mengisi balang 3, manakala Singapura, Nepal, Kemboja, Bangladesh dan Sri Lanka dalam balang 4.

“Enam negara tuan rumah akan diambil dari balang mereka dan diletakkan di dalam balang berasingan untuk mengelak daripada diundi dalam kumpulan yang sama, walaupun kedudukan kumpulan terakhir akan mencerminkan undian asal mereka,” kata AFC dalam kenyataan itu .

Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia secara merit pada edisi Kuwait 1980, manakala pada 2007, skuad Harimau Malaya tampil sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam. – Bernama
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here