Bomoh didakwa cabul pesakit

0
760

SEORANG bomoh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di Melaka, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, ketika memberi rawatan terhadap mangsa awal bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Raba’ai Parman, 66, dari Taman Bukit Rambai Utama, Bukit Rambai, mengangguk faham namun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut kertas pertuduhan dia didakwa mencabul mangsa dengan menyapukan limau nipis dan telur ayam ke badan wanita berusia 41 tahun di sebuah rumah di Taman Rambai Utama, pada 11 Januari lalu, kira-kira jam 9 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Peguam tertuduh, Santhil Ramu merayu jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh tidak bekerja dan hanya bergantung pada pencen untuk menyara isteri yang kurang sihat.

Katanya , tertuduh juga menjalani rawatan setiap bulan kerana menghidap darah tinggi, kencing manis dan sakit tulang belakang.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 28 Mac depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here