Pesara hakim, kerajaan disaran selesai cara mediasi

0
414

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini mencadangkan pihak terbabit dalam saman difailkan sekumpulan 35 individu, terdiri daripada bekas anggota badan kehakiman dan tujuh balu bekas hakim berhubung kegagalan kerajaan menetapkan kenaikan sewajarnya dalam pencen dan faedah yang mereka terima sejak 2015, diselesaikan melalui mediasi.

Bekas anggota badan kehakiman itu termasuk bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Haidar Mohamed Nor, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yunos, yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat.

Mereka menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan pertama hingga keempat.

Peguam Christopher Leong yang mewakili bekas hakim sebagai plaintif itu berkata Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mencadangkan pihak terbabit supaya meneroka kemungkinan melalui proses mediasi.

“Kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami bersetuju untuk meneroka kemungkinan untuk pengantaraan dan Peguam Persekutuan M. Kogilambigai memberitahu mahkamah bahawa beliau akan mendapatkan arahan mengenai perkara ini juga dan kembali ke mahkamah pada tarikh pengurusan kes akan datang,” kata peguam itu kepada pemberita selepas pengurusan kes hari ini.

Leong berkata hakim juga memberitahu mahkamah bahawa beliau mempunyai kaitan dengan salah seorang plaintif dalam saman itu (hubungan keluarga) dan meminta pandangan pihak terbabit.

Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan bahawa tiada bantahan bagi pihak mereka yang terbabit dan hakim kemudiannya menetapkan 21 Mac untuk pengurusan kes selanjutnya untuk memaklumkan status pengantaraan.

Dalam saman yang difailkan pada 24 Januari lalu itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta telah melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain yang diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut.

Plaintif berkata mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim bersara dan orang tanggungan hakim yang sudah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim masih berkhidmat yang disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa sebagaimana yang wajib dilakukan menurut Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here