Perbicaraan 1MDB bekas pegawai Goldman Sachs bermula hari ini di New York

0
526

PERBICARAAN kes bekas pegawai bank Goldman Sachs yang didakwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mula dibicarakan di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, Amerika Syarikat (AS), pada Isnin, selepas ditangguh hampir tiga tahun.

Memetik laporan New York Times, perbicaraan hari ini akan dimulakan dengan memanggil saksi pertama pihak pendakwaan.

Perbicaraan ini membuka tirai dengan pemilihan juri bagi mendengar kes terhadap pegawai bank terbabit, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng, yang berdepan dengan tiga pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan urusan mendapatkan perniagaan bagi Goldman Sachs, yang mempunyai pengaruh besar di Wall Street.

Sebelum ini Roger Ng yang juga bekas ketua pelaburan perbankan bagi Goldman Sachs Malaysia, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram.

Pada Oktober 2020, bekas majikannya bersetuju untuk membayar AS$2.9 bilion (RM12.2 bilion) dan sebuah unit Malaysia mengakui salah laku jenayah, bagi menyelesaikan siasatan oleh Jabatan Keadilan AS serta pihak lain berhubung skandal dana berbilion dolar daripada 1MDB.

Roger Ng bersama bekas rakan sekerjanya di Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan dalam buruan yang juga pembiaya kewangan rakyat Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) serta beberapa lagi didakwa bersubahat menyeleweng lebih AS$2.7 bilion (RM11.28 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad, oleh pihak berkuasa negara itu.

Roger Ng turut didakwa bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS (FCPA) dengan memberi suapan kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi serta berkonspirasi untuk memintasi kawalan perakaunan dalaman Goldman Sachs, demikian menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ) dalam satu kenyataan pada 2019.

Pihak pendakwaan di Malaysia dan AS mendakwa bahawa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB pada 2009 bagi membiaya program pembangunan di Malaysia.

Jabatan Kehakiman AS menyifatkan isu 1MDB sebagai “skandal kleptokrasi terburuk pada era ini.”

Memetik Reuters, sebelum ini, Leissner pula telah mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan diperintah dilucut hak sebanyak AS$43.7 juta dan beliau dijadual dijatuhkan hukuman pada bulan depan, kata Reuters.

Pada Oktober 2020, Goldman Sachs dan anak syarikatnya di Malaysia bersetuju membayar lebih AS$2.9 bilion kepada kerajaan Malaysia selepas mengaku bersalah bersubahat melanggar Akta Amalan Rasuah Asing.

Jabatan Kehakiman AS berkata Goldman Sachs telah memberi suapan lebih AS$1 bilion kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi dan sebagai balasan, memiliki peranan sebagai penaja jaminan kira-kira AS$6.5 bilion dalam urus niaga tiga bon bagi 1Malaysia Development Berhad. – AstroAwani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here