[VIDEO] Najib sebenarnya khianati UMNO, orang Melayu – Muhyiddin

Seret parti ke dalam skandal 1MDB, memalukan Malaysia di seluruh dunia

0
581

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan orang Melayu, khasnya segelintir pemimpin UMNO supaya sedar siapa sebenarnya yang mengkhianati parti dan bangsa mereka sendiri.

Peringatan tegas itu disuarakan bekas perdana menteri selepas wujud segelintir pemimpin UMNO yang menghasut orang Melayu dengan menuduh Muhyiddin sebagai pengkhianat.

Sedangkan, kata Muhyiddin, parti itu sebenarnya dikhianati bekas Presiden UMNO sendiri iaitu Datuk Seri Najib Razak.

“Kononnya sayalah yang menyebabkan kerugian kepada orang Melayu apabila menubuhkan Bersatu dan bekerjasama dengan PKR dan DAP menjatuhkan UMNO.

“Mereka cuba menutup hakikat sebenar bahawa UMNO dikhianati oleh bekas Presiden UMNO sendiri, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Beliau membiarkan skandal 1MDB menjadi terlalu besar dan buruk sehingga majoriti rakyat membenci UMNO,” katanya dalam catatan di Facebook miliknya, hari ini.

Katanya, Najib memecat beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2015 hanya kerana menyarankan agar isu 1MDB disiasat secara telus.

“Saya sarankan demikian supaya ia tidak menimbulkan sebarang tanggapan buruk kepada kerajaan dan parti pada ketika itu. Malangnya saranan saya dijawab dengan pemecatan dari kerajaan dan UMNO. Ingat, saya dipecat bukan kerana skandal rasuah mahupun salah laku moral.

“Saya dipecat kerana meminta diadakan siasatan bagi memastikan mereka yang bertanggungjawab dalam kehilangan RM42 bilion wang 1MDB dibawa ke muka pengadilan,” katanya sambil mengingatkan orang Melayu supaya tidak lupa bagaimana Malaysia dipandang hina di seluruh dunia akibat skandal 1MDB.

Secara sinis, Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ini mempersoalkan adakah orang UMNO tidak tahu bahawa punca mereka kalah (dalam PRU-14) adalah kerana Najib mengheret parti ke dalam skandal peribadinya.

Tegas Muhyiddin, beliau rela dianggap sebagai pengkhianat kerana mendedahkan skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang kumpulan kleptokrat di dalam UMNO.

“Saya rela dengan gelaran tersebut. Kini terbukti perjuangan saya adalah benar.

“Mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah ke atas Datuk Seri Najib atas kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang ada hubung kait dengan 1MDB,” katanya.

Katanya, keputusan mahkamah itu secara jelas membuktikan skandal 1MDB bukannya satu fitnah dan bukannya satu rekaan.

Bahkan, kerajaan PN di bawah pimpinan Muhyiddin telah mengutip semula lebih RM16 bilion wang dan aset berkaitan syarikat 1MDB yang telah diseleweng.

Ketika ini kes 1MDB masih dibicarakan dan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes SRC International juga sedang dirayu di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Selain kes 1MDB dan SRC International, terdapat beberapa kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan pemimpin UMNO yang digelar sebagai Kluster Mahkamah.

Mengulas dakwaan yang mengatakan beliau dilantik sebagai perdana menteri dengan sokongan Ahli Parlimen termasuk daripada Kluster Mahkamah, Muhyiddin menegaskan, perlantikannya adalah sah dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Ya, saya jadi Perdana Menteri kerana disokong oleh Ahli-ahli Parlimen termasuk daripada Kluster Mahkamah. Ada orang kata tidak malukah saya terima sokongan Kluster Mahkamah untuk jadi Perdana Menteri.

“Saya tidak minta untuk jadi Perdana Menteri. Saya tidak pernah berkempen pun untuk jadi Perdana Menteri.

“Saya hanya mengikut apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila saya mendapat sokongan majoriti Ahli-ahli Parlimen, saya dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri. Maka sahlah pelantikan saya itu,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here