Kerana Covid-19 Indonesia tarik diri Piala AFF B-23

0
239

SKUAD Bawah-23 Indonesia terpaksa membuat keputusan menarik diri daripada saingan kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 Bawah 23 Tahun (B-23) di Phnom Penh, Kemboja dari 14 hingga 26 Februari ini.

Keputusan itu dibuat susulan penularan jangkitan Covid-19 yang melanda skuad bimbingan Shin Tae-Yong tersebut.

Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam kenyataan di laman webnya memaklumkan, tujuh pemain dan seorang pegawai telah disahkan dijangkiti COVID-19.

Tujuh pemain itu adalah Ronaldo Joybera R. Junior, Muhammad Ferrari, Braif Fatari, Taufik Hidayat, Irfan Jauhari, Ahmad Figo Ramadhani dan Cahya Supriyadi.

Selain itu, empat lagi pemain iaitu Alfeandra Dewangga, Genta Alparedo, Muhammad Kanu Helmiawan dan Marcelino Ferdinan pula terpaksa menjalani tempoh kuarantin kerana menjadi kontak rapat kepada pemain yang dijangkiti.

Faktor lain yang membuatkan Indonesia terpaksa menarik diri adalah disebabkan masalah kecederaan dengan tiga pemain iaitu Gunansar Mandowen, Ramai Rumakiek, dan Muhammad Iqbal.

Ketiga-tiga pemain itu mengalami kecederaan sewaktu tugasan bersama kelab masing-masing di Liga 1 Indonesia.

Baca artikel berkaitan: Anak buah Maloney siap sedia ‘gempur’ Kemboja

Keadaan tersebut memaksa Tae-Yong mengusulkan kepada PSSI untuk membatalkan penyertaan Indonesia di Piala AFF B-23 dan diterima badan induk tersebut.

“Dengan sangat kesal, kami harus membatalkan penyertaan Indonesia di Piala AFF B-23 kerana alasan di atas.

“Kami meminta maaf kepada semua pihak kerana situasi ini di luar kawalan kami. Saat ini, kami fokus untuk penyembuhan pemain yang dijangkiti COVID-19 dan mengalami kecederaan,” kata Setiausaha Agung PSSI, Yunus Nusi.

Indonesia merupakan saingan terkuat Malaysia dalam Kumpulan B kejohanan tersebut yang turut menyaksikan Myanmar dan Laos berada dalam kumpulan sama.

Malaysia sepatutnya bertemu Indonesia dalam perlawanan terakhir pada 21 Februari di Stadium Kebangsaan Morodok Techo, Phnom Penh. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here