Invois palsu: Pengarah syarikat dipenjara 2 tahun, denda RM829,170

0
441

SEORANG hakim menasihati seorang pengarah syarikat yang dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda berjumlah RM829,170 kerana mengemukakan invois palsu agar menjadi contoh teladan kepada anak-anaknya serta tidak mengulangi kesalahan sama.

“Walaupun hendak mencari rezeki, carilah dengan cara yang betul,” kata Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob kepada Ahmad Fauzi Abdul Samad, 50.

Pengarah syarikat yang menyediakan program latihan itu didapati bersalah atas empat pertuduhan setelah pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dia didakwa memberikan invois empat syarikat yang mempunyai kaitan dengannya berjumlah RM165,834 kepada seorang lelaki dengan butiran palsu berhubung program Skim Kemahiran dan Kerjaya 1Malaysia-Industri sedangkan program itu tidak dijalankan oleh syarikat terbabit. 

Ahmad Fauzi didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Pengajian Kolej Komuniti di Jalan P4W Putrajaya pada 25 November 2013 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan denda berjumlah RM829,170 serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak.

Bagaimanapun, Rozina membenarkan permohonan peguam Azamuddin Abd Aziz, yang mewakili Ahmad Fauzi, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi serta menaikkan jumlah jaminan daripada RM40,000 kepada RM65,000.

Tertuduh juga diperintah melaporkan diri di pejabat SPRM Johor Bahru pada minggu pertama setiap bulan manakala pasportnya ditahan dan disenarai hitam dari ke luar negara.

 Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon hukuman setimpal mengambil kira keseriusan kes dan faktor kepentingan awam manakala Azamuddin merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai seorang isteri serta tiga anak berumur lingkungan 15 hingga 23 tahun selain tidak memiliki rekod jenayah.

Sementara itu, Mohd Faisal Ishak, 60, yang merupakan pensyarah di sebuah kolej komuniti, dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dengan Ahmad Fauzi selepas mahkamah mendapati dia berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan.

Seramai 30 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula dalam bulan Disember 2019.– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here