Sindiket ugut lelaki kesunyian guna video adegan lucah

0
570

SATU sindiket yang mengeksploitasi lelaki kesunyian berjaya ditumpaskan polis selepas tujuh suspek ditahan dalam Op Bugil yang dijalankan polis negeri ini pada 16 Januari lalu di beberapa negeri termasuk Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan melibatkan empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 25 hingga 54 tahun.

Katanya, tangkapan itu melibatkan enam serbuan berasingan yang dijalankan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

“Mereka yang ditahan melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita Melayu serta seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang merupakan pemilik akaun dan juga pemegang kad bank yang bukan milik mereka.

“Hasil daripada tangkapan berkenaan, polis berjaya menyelesaikan 25 kes berkaitan jenayah ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Khamis.

Tambah beliau, modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan mengumpan mangsa kebiasaannya lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an untuk melakukan panggilan video menerusi aplikasi MiChat, WeChat dan juga Whatsapp.

“Mangsa kemudian akan diperdaya untuk berbogel dan melakukan adegan-adegan lucah yang mana perbuatan itu dirakam ahli sindiket.

“Sindiket berkenaan kemudiannya akan menggunakan rakaman tersebut untuk mengugut mangsa dengan wang ringgit dan jika mangsa tidak bayar, rakaman berkenaan akan ditularkan dalam media sosial,” ujarnya.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya telah menerima 368 aduan daripada mangsa melibatkan ugutan penyebaran video bogel dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM485,013 sejak Januari 2021 hingga kini.

“Sehubungan itu, polis Johor mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan taktik berkenaan agar tidak menjadi sasaran sindiket terbabit.

“Orang awam juga tidak seharusnya membenarkan akaun bank milik mereka digunakan mana-mana pihak ketiga kerana dibimbangi ia diguna dalam aktiviti jenayah,” jelasnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here