SPRM tahan bekas pengarah kolej swasta, buat tuntutan palsu RM300,000

0
230

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas pengarah sebuah kolej swasta di Kota Kinabalu, hari ini bagi membantu siasatan membabitkan kesalahan membuat tuntutan palsu.

Harian Metro melaporkan, lelaki berusia 40-an itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu pada 10 pagi hari ini, selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

Suspek dipercayai melakukan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu bernilai keseluruhan lebih RM300,000 kepada sebuah agensi kerajaan sekitar 2018 membabitkan tiga tuntutan berasingan.

Tuntutan itu membabitkan tiga program dilaksanakan di kolejnya dengan membuat tuntutan penuh kehadiran serta elaun pelajar sedangkan terdapat pelajar tidak pernah hadir serta tidak menghabiskan kursus berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Tiada permohonan reman dan suspek dibebaskan pada hari sama selepas selesai memberi keterangan.

“Wang jaminan ditetapkan RM5,000 dengan seorang penjamin dan suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada satu tarikh akan ditetapkan kemudian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here