Isu Bongok buat Pretty Ugly ‘sentap’, tetap sambut ulang tahun ke-21

0
560

MELEWATI usia 21 tahun pembabitan dalam bidang seni, pelbagai liku sudah dilalui oleh kumpulan yang satu ini. Satu masa dahulu lagu-lagu mereka diterima baik namun perkara tersebut tidak lama.

Ada perkara yang masih berbekas di hati mereka yang sehingga ke hari ini masih dirasai apabila lagu Bongok yang dirakamkan pada 2015 tidak mendapat sambutan baik daripada stesen radio.

Jelas Neves, itu juga yang menjadi sebab mengapa mereka tidak lagi merakamkan album baharu memandangkan tiada sokongan yang diberikan banyak pihak meskipun sudah menukar tajuk.

“Saya tahu ramai tertanya-tanya kenapa Pretty Ugly sudah lama tidak merakam album baharu. Adakah kami merajuk atau kecewa. Sebenarnya, banyak single sudah dirakam sepanjang sedekad lalu.

“Antaranya, Dia Milikmu, No 1, Bongok dan Pasti Kau Milikku. Hanya lagu No 1 pernah mendapat sambutan. Lagu ini memenangi trofi Muzik Video Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2014,” kata Neves.

Bercerita mengenai lagu Bongok pula, mereka mengakui yang lagu tersebut sedikit tenggelam apabila tajuknya menjadi dipersoalkan.

Ketika itu, ramai yang memberikan tekanan dan mahu mereka menukarkan tajuk tersebut. Akhirnya mereka akur dan mengikut kehendak orang pendesak.

Namun dek kerana kekeliruan ramai pihak terhadap tajuk tersebut, lagu tersebut bagaikan hilang dari radar dan tidak dipedulikan lagi.

“Ya, kami kecewa. Disebabkan perkataan bongok, lagu ini seolah-olah disenarai hitam dalam senyap. Walaupun lagu ini ada potensi untuk menjadi hits,” luahnya kecewa.

Tidak mahu terus larut dalam emosi berpanjangan, kumpulan tersebut kini muncul dengan album baharu berjudul Pretty Ugly 21 sempena meraikan 21 tahun pembabitan mereka.

Mereka menggunakan angka 21 bukan sekadar tanda kehadiran dalam industri tetapi juga kerana album ini dihasilkan pada tahuh 2021.

Album Pretty Ugly 21 mengandungi 11 lagu dan ia adalah album kelima selepas album Abstrak Versi Fantasi pada 2001, Transformasi Ke Stereo (2003), Rockaholic (2006) dan Darabkan Sejuta (2011).

Kata Neves, berlainan dengan album-album terdahulu, album ini adalah rakaman semula lagu-lagu yang pernah popular satu ketika dahulu

“Boleh dikatakan semua lagu yang terkandung pernah menjadi hits. Ia juga memuatkan lagu baharu iaitu Dirimu Tetap Ku Cinta Walaupun COVI Melanda yang mengetengahkan kisah bagaimana sepasang kekasih merempuh dugaan hidup pada era pandemik.

“Lagu Dirimu Tetap Ku Cinta dirakamkan tahun lalu. Mungkin ramai yang masih tidak pernah dengar atau tahu akan kewujudan lagu ini. Disebabkan itulah lagu ini dimasukkan sekali dalam album ini.

“Dan kami juga merakamkan semula lagu Jangan Kau Mimpi sebagai tribute buat Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia disebabkan korban Covid-19,” katanya yang juga merupakan pencipta lagu tersebut.

Untuk rekod, album Pretty Ugly 21 dihasilkan menerusi dana yang diterima daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here