SETELAH beberapa bulan mengalami krisis rumah tangga bersama suami, penyanyi Datuk Aishah mengesahkan yang dia sudah diceraikan pada penghujung tahun lalu.
Jelasnya, bekas suaminya itu menghantar WhatsApp pada 25 Disember lalu dan dia diceraikan dengan talak satu.
“Segala-galanya sudah selesai apabila saya diceraikan talak satu menerusi mesej pada 25 Disember lalu. Bohonglah, jika saya tidak bersedih dengan pengakhiran yang berlaku.
“Saya menangis sebaik sahaja membaca mesej yang dikirimkan. Namun, saya akur dengan ketentuan takdir. Walau apapun yang berlaku, hidup harus diteruskan,” katanya.
Sebelum ini Aishah ada mendedahkan yang dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan lelaki berkenaan pada November yang lalu.
Jelasnya, dia hanya mengunggu talak daripada suaminya ketika itu dan dalam masa yang sama tidak mendedahkan apa sebenarnya masalah yang berlaku kepada rumah tangga yang berusia lima tahun itu.
Pun begitu, penyanyi yang popular dengan lagu Selanjur Bercinta ini mengakui tidak sukar untuk kembali hidup solo memandangkan dia sudah melaluinya beberapa kali.

Dia sendiri sudah dikurniakan dua orang anak, Armand Azhari dan Azhad Ahlami dan akan meneruskan kehidupan bersama mereka selepas ini.
“Sekarang anak-anak sudah dewasa dan menjadi tempat saya bergantung harap. Ini bukan perkara baharu buat saya. Saya pernah melalui pengalaman sama sebelum ini. Masa itu, anak-anak masih kecil lagi.
“Masih terbayang apabila saya terpaksa mengangkut anak-anak bersama ketika bekerja kerana tiada siapa dapat menjaga mereka,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.