PENULARAN video dan gambar memaparkan kesesakan serta keadaan tegang antara penumpang dan kru feri di Terminal Feri Penumpang Kuah di Langkawi petang semalam dan malam tadi, dipercayai berpunca kerosakan feri.
Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, Mohd Hafiz Abdul Majid ketika mengesahkan kejadian itu, berkata situasi dipercayai berpunca daripada kerosakan feri berkapasiti besar.
“Saya dimaklumkan ada feri berkapasiti besar mengalami kerosakan pada saat akhir menyebabkan perjalanan sebahagian penumpang tertunda.
“Bagaimanapun, kesemua 423 penumpang terbabit selamat tiba di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis jam 11.25 malam tadi menerusi Expres Bahagia 99,” katanya, memetik laporan BH hari ini.
Terdahulu, menerusi beberapa rakaman video yang dimuatkan di media sosial memaparkan keadaan sesak penumpang dan ‘perang mulut’ antara penumpang dan kru feri di Terminal Feri Penumpang Kuah, di sini.
Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik bersama video dan gambar terbabit, penumpang mendakwa kejadian sesak itu berlaku selepas perjalanan feri Langkawi-Kuala Perlis tertunda lebih lapan jam. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.