Marc Vales Gonzalez mantapkan benteng KDA FC

0
445

BENTENG pertahanan Kedah Darul Aman (KDA) FC kini dimantapkan lagi dengan kehadiran Marc Vales Gonzalez.

Pemain pertahanan yang beraksi dengan kelab Sandefjord Football (Norway) berkenaan melengkapkan senarai penuh 30 pemain Kedah Darul Aman FC (KDA) bagi mengharungi aksi Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC pada musim ini.

Kehadirannya di Alor Setar selepas menamatkan tempoh kuarantin sudah dijangka dan dinantikan penyokong selepas banyak desas-desus yang mengaitkan dirinya dengan skuad KDA FC kerap berada di laman media sosial sebelum ini.

Marc Vales mengisi slot pemain import kuota antarabangsa ketiga KDA FC yang mana sebelum ini pasukan itu telah mengesahkan Dechi Marcel N’guessan, Ronald Ngah Wanja, Jang Suk-Won dan Dennis Buschening sebagai empat pemain import skuad hijau kuning.

Berita pengumuman penyertaan Vales bersama KDA FC ini diumumkan secara rasmi oleh media KDA FC semalam sekali gus membuka fasa baharu buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak pada musim ini.

“KDA FC dengan ini mengumumkan pemain import baharu untuk musim 2022, Marc Vales Gonzalez.

“Dengan pengumuman ini, pasukan KDA FC kini melengkapkan senarai 30 pemain untuk musim 2022 dan Gonzalez mengisi slot pemain import kuota antarabangsa ketiga untuk skuad KDA FC.” katanya.

BERITA BERKAITAN Syafiq enggan janji ‘bulan dan bintang’, ingin kembalikan rentak permainan bersama Kedah

Pemain pertahanan berusia 31 tahun kelahiran Les Escaldes, Andorra ini boleh dianggap pemain yang tidak kurang hebat memiliki pengalaman beraksi di Sepanyol, Finland, Norway dan negaranya Andorra.

Pengalaman Gonzalez yang pernah berdepan pemain handalan dan ternama negara Eropah seperti Christiano Ronaldo, Kylian Mbappe, Harry Kane, Antoine Griezmann dan lain-lain ketika bersama skuad Andorra dalam pusingan kelayakan Piala Dunia dan kelayakan Kejohanan Piala Euro sebelum ini boleh dianggap satu perkembangan yang cukup menarik buat naib juara Liga Super musim lalu itu.

Beliau memiliki 78 kap penampilan bersama skuad kebangsaan Andorra dan berpengalaman beraksi di liga Sepanyol menerusi skuad belia Real Madrid pada 2015 dan skuad kedua Ibiza, terdahulu pada 2009.

Melalui rekod cemerlang yang dicapainya dengan memenangi piala liga bersama kelab SJK Seinajoki di Finland pada 2016, Vales terus menyerlahkan kemampuannya bersama kelab Sandefjord Fotbal di Liga Norway sebelum memilih KDA FC di Liga M. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here