Empat watak, satu drama cabar Sabri Yunus 

0
1550

EMPAT watak sekali gus. Itu kelainan yang dibawa oleh Sabri Yunus menerusi drama bersiri 4 Abdul 1 Mohd yang mendapat sambutan hangat penonton.

Bagi pelakon merangkap pengarah yang satu ini, tiada apa yang mustahil untuk dilakukan bagi meyakinkan penonton hasil karya kali ini begitu berbeza berbanding sebelumnya.

Kisah yang dekat dengan hati masyarakat dan menyentuh kisah-kisah benar kehidupan di sekeliling menjadi taruhan untuk hiburan penonton.

“Saya merasakan saya tidak mempunyai sebarang resepi untuk ‘switch on dan off’ kepada watak . Ini kerana saya merasakan bahawa kita sendiri ada batas dan tahu mengawal lakonan. 

“Kalau faham tentang batas dan pengawalan, tiada akan ada masalah. Dalam drama 4 Abdul 1 Mohd, ada seorang Sabri Yunus yang mengawal semuanya,” ujarnya.

Untuk drama 12 episod yang kini bersiaran dari hari Isnin hingga Khamis, pukul 11 malam di Astro Ria, Sabri membawakan watak Abdul Jabar, Abdul Somad, Abdul Wasit dan Abdul Hakim di mana setiap Abdul berbeza dialek dan karakter.

“Antara empat watak yang dibawakan, saya merasakan watak Abdul Wasit merupakan yang paling mencabar. Watak lembam, sangat mencabar. 

“Saya nak ‘maintain’ watak itu dalam keadaan yang cepat di waktu fikiran saya masih bergerak sebagai pengarah dan kemudian tiba-tiba nak jadi lembab. Itu mencabar tetapi saya boleh terima. Saya tulis skrip di lokasi. 

“Bayangkan saya kena harus tulis lalu bagi pada diri saya untuk dihafal.  Watak itu saya harus masukan dialek orang Pahang. Ini watak paling sukar dan orang akan simpati,” ceritanya tentang Abdul Wasit yang berpewatakan lurus bendul.

Selain Sabri, beberapa pelakon lain yang terlibat sama termasuklah Asrul Faizal, PU Azman, Brian Chan, Azizul Ammar, Angeline Tan, Saidi Sabri dan Issey Fazlisham. 

Drama terbitan Porcupine Production dan Heritage Movies ini menjalani pengambaran selama 32 hari di Temerloh dan Pantai Sepat Kuantan, Pahang.

Tambah lelaki ini lagi, antara cabaran besar yang dihadapi adalah melibatkan masa dan kekangan prosedur operasi standard (SOP) ketika penggambaran berlangsung.

“Sangat-sangat sukar. Bukan sekadar kesukaran  dalam proses untuk membikin tetapi juga  dengan kekangan masa yang ada. Malah kita juga perlu mematuhi prosedur SOP yang ditetapkan. 

“Untuk buat sebuah drama dan bukannya  bukan filem,  kita tiada pilihan. Kena kejar masa dan itulah cabaran. Memegang watak tidaklah cabaran sangat. Nak mengangkat naskhah dalam masa yang terhad, itu lebih mencabar,” jelasnya.

4 Abdul 1 Mohd mengisahkan Jabar yang sewaktu mudanya telah berkahwin dengan tiga orang wanita dan menceraikan semua isteri-isterinya dalam masa yang sama mereka sedang sedang mengandung. 

50 tahun kemudian, dia mula mencari anak-anaknya untuk membetulkan kesilapannya dahulu. Jabar yang semakin sakit dan uzur berhajat untuk membahagikan hartanya. 

Namun begitu, Jabar terkejut apabila mendapati anak-anaknya mempunyai mirip muka yang sama! Akan tetapi, pertemuan Jabar dan anak-anaknya membawa bala dan kehancuran kepada keluarga mereka. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here