[VIDEO] PRN Johor masih terbuka, semua parti berpeluang menang- Penganalisis

0
666

PELUANG parti-parti politik untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang masih terbuka kerana kewujudan faktor undi golongan muda.

Felo penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Dr. Hamidin Abd Hamid berkata, tidak ada parti politik yang boleh mendabik dada bahawa mereka bakal menguasai PRN kali ini, kerana faktor undi 18 cukup besar dan pada masa ini masih sukar untuk dijangkakan.

Katanya, ketika ini golongan tersebut masih tercari– cari parti politik mana yang boleh membawa aspirasi mereka, sekali gus diterjemahkan pada hari pengundian.

“Parti politik perlu mempunyai strategi yang jelas dalam menarik minat golongan muda bukan sahaja untuk pergi mengundi, malah mengundi untuk mereka. Ini memerlukan strategi yang bijak oleh parti politik itu sendiri.

“PRN di Johor ini akan menjadi penanda aras bagaimana peranan atau pengaruh golongan pengundi baharu ini terhadap keputusan pilihan raya,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata, jumlah pengundi di Johor yang meningkat sebanyak 30 peratus selepas pendaftaran automatik Undi 18 dan pengundi baharu awal tahun ini, bakal menonjolkan perubahan besar kepada budaya politik dan pola pengundian di sesebuah kawasan.

Katanya, perubahan yang ketara terhadap landskap, pola dan budaya pilihan raya itu juga akan dapat dinilai apabila setiap kawasan mengundi di Johor mengalami peningkatan pengundi sebanyak 40 peratus sehingga 60 peratus.

Dalam pada itu katanya, kajian sebelum ini mendapati kecenderungan dan minat golongan muda terhadap arena politik negara pada ketika ini sedang menunjukkan pola yang positif, bagaimanapun PRN Johor akan menjadi medan untuk menentukan tahap kepedulian mereka terhadap politik dapat dibuktikan.

“Kalau kita lihat kepada kecenderungan golongan muda dalam mengikuti perkembangan politik pada masa ini, ia berada dalam pola yang positif dalam konteks penglibatan mereka berbincang mengenai politik di media sosial dan sebagainya.

“Persoalannya, adakah ia akan terserlah di kertas undi? Saya kira sekiranya berlaku satu gelombang dalam kalangan orang muda , ia satu perkara yang sangat positif, namun kita akan nampak perubahan kepada landskap politik dan juga pola pengundian,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau percaya bahawa keputusan pada PRN Johor yang bakal menyaksikan pengundi muda dari umur 18 tahun ke atas buat kali pertama ini bakal menjadi refleksi kepada situasi dan lanskap Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

Sebagai rekod, Johor menyaksikan pertambahan jumlah pengundi baharu yang signifikan iaitu sebanyak 30 peratus atau 749,731 pengundi hasil pelaksanaan Undi 18.

Angka berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di Johor ialah 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Hamidin menambah, parti-parti politik perlu mengambil inisiatif dan strategi yang bijak dan mesra terhadap setiap golongan pengundi, khususnya golongan muda ekoran jumlah pengundi dalam golongan itu yang agak besar.

“Ia akan mengikut kehendak kepada golongan yang besar, pengundi muda contohnya, mungkin cara mendekati mereka adalah menerusi media sosial dan bahasa yang digunakan juga perlu berbeza berbanding dengan cara sebelum ini.

Justeru katanya, tiada parti politik yang boleh merasa terlampau yakin untuk memenangi pilihan raya berkenaan atas faktor undi 18 kerana ia disifatkan masih terbuka untuk dimenangi oleh pihak yang berjaya menambat hati golongan pengundi muda.-SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here