Mekanik didenda RM3,000 hantar mesej lucah menerusi Whatsapp

0
329

SEORANG mekanik didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan hari ini selepas mengaku menghantar mesej lucah melalui aplikasi WhatsApp kepada kenalan wanitanya, lapan tahun lepas.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Faiz Zaini, 35, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda itu.

Muhammad Faiz dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 5.15 petang 14 April 2014 di sebuah premis di Tanjung Agas, Port Dickson.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala Muhammad Faiz tidak diwakili peguam.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here