Pakar WWF akui pembalakan terpilih dapat bantu populasi harimau

Kajian mendapati peningkatkan 30 peratus di kawasan pembalakan terpilih

0
345

KAJIAN lapangan yang dijalankan dua pakar hidupan liar Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia mendapati beberapa bentuk pembalakan hutan dapat membantu pemuliharaan populasi harimau Malaya yang semakin terancam.

Kajian selama beberapa bulan oleh pakar hidupan liar, Mark Rayan Darmaraj dan Wan Mohamad Shariff mendapati kepadatan populasi harimau 30 peratus lebih tinggi di kawasan pembalakan terpilih berbanding anggaran tertinggi yang pernah dinyatakan dalam kajian terdahulu yang dijalankan di Taman Negara.

Penemuan daripada kajian di Hutan Simpan Gunung Basor, Kelantan itu sekali gus selari dengan kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah yang menyatakan kawasan hutan yang ditebang mungkin baik untuk populasi harimau

Menurut laporan MalaysiaNow, kajian pemerhatian meliputi kawasan seluas 120 kilometer itu dicerap menggunakan kamera perangkap infra merah yang diletakkan secara strategik dan berfungsi sepanjang masa selama sembilan bulan.

Dua pakar itu menyimpulkan, pembalakan terpilih akan mengurangkan kanopi hutan dan membantu cahaya matahari untuk sampai ke lantai hutan sekaligus memperbanyakkan sumber makanan.

Ekoran itu, kajian yang diterbitkan oleh Universiti Cambridge itu menggesa penyelidikan segera dilaksanakan mengenai ekologi harimau dan mangsanya di hutan yang ditebang.

“Penyelidikan sedemikian akan membolehkan ahli pemuliharaan alam mengesyorkan garis panduan pengurusan mesra harimau bagi pengurusan hutan yang lestari dan sekali gus menyumbang secara signifikan kepada pemuliharaan harimau di Malaysia,” kata mereka sambil menambah kesan pembalakan terhadap populasi harimau “kurang diketahui”.

Sebelum ini, media melaporkan Abdul Khalim memberitahu bahawa kawasan hutan yang ditebang mungkin baik untuk populasi harimau.

Bagimanapun, kenyataan itu mengundang kemarahan ramai dan banyak mendapat kecaman di media sosial.

Sementara itu dua pengkaji berkenaan turut memberi amaran terhadap kecenderungan untuk menganggap pembalakan terpilih di hutan sebagai tidak baik dalam usaha pemuliharaan.

Kata mereka, kekeliruan itu mungkin menyebabkan penyahwartaan hutan simpan dan seterusnya penukaran tanah hutan kepada kegunaan lain contohnya tanaman komoditi seperti kelapa sawit.

“Memandangkan harimau memerlukan habitat yang besar, kesan penukaran kegunaan tanah hutan sedemikian, akan membawa kepada pemisahan dan pengasingan hutan simpan, di mana ia akan menjejaskan daya tahan populasi harimau dalam jangka masa panjang di seluruh landskap hutan,” kata mereka.

“Kami berharap penyelidikan masa depan akan menonjolkan peranan hutan yang dibalak secara terpilih bagi usaha pemuliharaan harimau dan membantu dalam menyediakan garis panduan pengurusan hutan lestari yang mesra harimau di Malaysia,” kata mereka.

Penyelidikan lapangan itu dijalankan sebagai respons terhadap dakwaan bahawa Panthera Tigris, keluarga harimau Malaya, terancam akibat kehilangan habitat, penebangan hutan dan pemburuan haram, selain berkurangnya sumber makanan.

Hutan Simpan Gunung Basor yang terletak di Jeli dipilih untuk kajian lapangan itu kerana ia dianggap sebagai landskap pemuliharaan harimau “Kelas 1” namun ia menyaksikan aktiviti pembalakan sejak 1970-an. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here