[VIDEO] Kerajaan negeri tidak stabil punca adakan pilihan raya

0
482

KERAJAAN negeri Johor tidak boleh ditadbir atau bergerak di atas ihsan pembangkang, dan memerlukan lebih kuasa membuat keputusan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Tegasnya, sebagai sebuah negeri yang dinamik serta mempunyai pembangunan rancak, situasi itu tidak boleh dibiarkan berlarutan dan pemilihan semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu dilakukan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, kedudukan kerajaan negeri yang hanya mempunyai majoriti tipis satu kerusi menyaksikan beberapa rundingan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) gagal dijalankan.

“Dengan majoriti satu kerusi, tiada siapa boleh pertikaikan yang kerajaan negeri Johor berada dalam keadaan amat tidak stabil.

“Johor tidak sepatutnya berada dalam kedudukan sedemikian kalau ingin terus merancang dan melaksanakan program untuk kepentingan rakyat dan negeri Johor,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Johor di Johor Bahru hari ini.

Baca berita berkaitan: SOP PRN Johor perlu lebih efektif berbanding PRN Melaka dan Sarawak

Ketika ditanya, mengenai maksud tidak mahu menjadi kerajaan dengan ‘Ihsan pembangkang’, beliau memberikan contoh situasi ketika DUN berdepan rundingan bagi wakil pembangkang hadir Mesyuarat Tindakan Daerah.

“Berulang kali saya terangkan , ini arahan nombor satu Jabatan Perdana Menteri berhubung komposisi wakil Mesyuarat Tindakan Daerah, tetapi mereka meneruskan juga rundingan.

“Akhirnya keputusan pada kedudukan 27-27. Speaker walau bukan dari pihak kerajaan, mungkin atas ihsan bagi memastikan kerajaan ini berjalan maka undi penentunya diberi kepada pihak kerajaan.

“Ini yang saya maksudkan (ihsan pembangkang),” jelasnya.

Susulan itu katanya, Johor memerlukan mandat baharu daripada rakyatnya yang membawa kepada permohonan pembubaran DUN kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam pada itu, Hasni turut menyifatkan komitmen politik pihak pembangkang dalam memastikan kestabilan Johor sebagai ‘janji manis’ mereka semata-mata.

Menurut Hasni lagi, tarikh yang sesuai bagi PRN Johor akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan memberi kepastian bahawa PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Sebelum pembubaran DUN, Johor memiliki 56 kerusi DUN dengan agihan UMNO dan DAP masing-masing mempunyai 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (dua), PAS (satu), sementara AMANAH (enam) dan PKR (tujuh).

Khabar angin pembubaran DUN Johor mula bertiup selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian bulan lalu.

Ekoran itu, Kerajaan negeri Johor pimpinan UMNO hanya berkelebihan satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Terdahulu pada Sabtu, spekulasi berkenaan tamat selepas Sultan Ibrahim mengesahkan telah memperkenankan pembubaran DUN Johor menerusi satu hantaran di Facebook baginda.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here