[VIDEO] PRN Johor untuk kepentingan rakyat atau kepentingan ahli politik?

0
639

KEPERLUAN untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu petanda bahawa corak dan halatuju politik kini hanya digerakkan oleh keinginan dan kerakusan ahli politik yang mementingkan kuasa semata-mata.

Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kestabilan dan halatuju politik negara kini bergantung di hujung jari parti politik besar yang mendominasi di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat.

Baca berita berkaitan: PRN Johor: Patuhi titah Sultan, degil itu menderhaka

“Dominasi parti-parti besar ini berupaya untuk menentukan halatuju struktur, perkembangan dan pembangunan politik negara kerana mereka mempunyai sokongan yang kuat seperti UMNO, PKR, DAP dan sebagainya.

“Sama juga seperti di Johor, mereka berupaya untuk menukar kestabilan politik dalam menukar kepimpinan apabila mereka merasakan ada keperluan. Ini adalah keputusan daripada parti politik, bukan kerana isu-isu berkaitan kehendak rakyat,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Katanya, situasi sedemikian di dalam landskap politik negara sudah terbukti apabila parti besar seperti UMNO menarik sokongan mereka terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kerajaan itu tumbang dan sepertimana yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Malah, Noor Nirwandy berpandangan perkara ini akan terus berlarutan dalam jangka masa panjang disamping berharap kepentingan rakyat perlu diberikan perhatian dan dikaji dengan serius sebelum sebarang keputusan dibuat oleh mereka.

Baca berita berkaitan: PRN Johor bukan sesuatu mendesak, kebajikan rakyat lebih utama – NGO

“Malangnya, gelanggang ini bukan gelanggang rakyat. Rakyat hanya boleh memilih apabila berlakunya pilihan raya atas sebab-sebab tertentu sepertimana di PRN Melaka. Rakyat hanya boleh menyuarakan kebimbangan mereka. Namun, halatuju politik negara dibawah kuasa ahli politik sendiri.

“Apabila mereka merasakan perlunya perubahan politik, mereka perlu memikirkan apakah kesannya kepada rakyat. Ini juga satu tanggungjawab yang besar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi-agensi lain,” ulasnya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan kancah politik semasa di negara pada ketika ini menimbulkan lebih banyak suasana yang pasif terhadap politik dalam kalangan rakyat yang mana agenda politik bukan lagi satu kepentingan untuk difikirkan oleh rakyat.

“Apabila masyarakat sudah pasif terhadap politik, parti-parti politik besar yang mempunyai ahli yang ramai mengambil peluang ini untuk memenangi pilihan raya.

“Rakyat kini hanya mahukan yang terbaik dalam aspek selain politik seperti pengurusan banjir, pengurusan penambahbaikan bantuan atau sistem negara dan sebagainya,” katanya lagi.

Sementara itu, pakar kesihatan awam (epidemiologi) Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Zaid Fattah Azman menjangkakan pelaksanaan PRN Johor dalam masa terdekat mampu mengakibatkan peningkatan kes positif Covid-19 sepertimana yang berlaku di PRN Sabah mahupun PRN Melaka.

Baca berita berkaitan : [VIDEO] PRN Johor: Jangan fikir ‘periuk nasi’ sendiri sahaja- Penganalisis

“Lebih-lebih lagi jika kita mempertimbangkan penularan varian Omicron yang sedang meningkat di Malaysia. Kita boleh atasi perkara ini dengan pelaksanaan dan pematuhan SOP yang lebih ketat dan sebagainya.

“Namun, kalau kita tengok dari segi realitinya, kemungkinan besar akan ada pelanggaran SOP. Secara tidak langsung, kita boleh jangka keboleh jangkitan yang tinggi daripada varian yang baharu. Kita mungkin boleh nampak peningkatan kes akibat PRN ini,” katanya ketika dihubungi.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here