PRN Johor: Patuhi titah Sultan, degil itu menderhaka

Ahli-ahli politik dinasihatkan mengutamakan rakyat, bukan kuasa

0
759

AHLI-ahli politik kemaruk kuasa yang inginkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan segera diingatkan supaya mematuhi titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang mahu kebajikan rakyat diutamakan pada masa ini.

Presiden Gabungan NGO Melayu Negeri (GABUNG) Johor, Zaini Atan berkata, parti-parti politik perlu bersabar dan memikir dengan sewaras-warasnya tindakan agar tidak menyusahkan rakyat.

“Kita taat setia kepada Tuanku Sultan Johor, apa yang Tuanku titah, sebagai rakyat dan orang-orang politik hendaklah patuh. 

“Itulah nasihat yang mutakhir, semua rakyat dan politik kena akur, atas titah Tuanku Sultan Johor,” katanya kepada SatuBerita ketika dihubungi pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan sesetengah pihak yang cuba untuk mendesak supaya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam waktu terdekat.

Desas-desus itu semakin bertiup kencang ekoran kematian ADUN Kempas yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, 70, bulan lalu yang menyaksikan kerajaan Johor kini hanya memiliki kelebihan satu kerusi.

Mengulas lanjut katanya, ahli politik dinasihatkan supaya bersabar untuk menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dikhabarkan akan diadakan pada tahun ini.

“PRU pun tak lama lagi, kebetulan lagi setahun, jadi kenapa nak adakan PRN, kita tunggulah sehingga sampai tempoh PRU diadakan, kerana tidak berapa lama lagi.

“Logiknya, PRU tidak lama lagi, tunggu jelah. Dalam keadaan ini, tidak kira rakyat Johor atau rakyat mana, masih ada lagi orang yang terkesan akibat Covid-19,” katanya lagi.

Tambah beliau, rakyat seakan-akan dapat menghidu tindakan rakus sesetengah ahli politik yang menggesa untuk mengadakan PRN Johor.

Bagaimanapun beliau menasihatkan rakyat dan ahli politik supaya tidak mengabaikan titah Sultan Johor, yang sebelum ini menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor supaya mengutamakan kebajikan rakyat daripada agenda politik sempit.

“Kita sebagai rakyat dapat menghidu tujuan yang nak menggesa PRN ini, ada pihak yang jadi peneraju parti politik untuk ambil kesempatan dalam situasi yang sebegini.

“Tuanku Sultan boleh nasihat rakyat, jalan yang terbaik, tetapi kalau rakyat degil nak buat macam mana. 

“Yang degil itu menderhaka, jangan ada rakyat yang menderhaka kepada Tuanku,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here