PRN Johor bukan sesuatu mendesak, kebajikan rakyat lebih utama – NGO

0
368

TINDAKAN untuk menggesa Pilhan Raya Negeri (PRN) Johor dalam masa terdekat menimbulkan persoalan samada perkara itu mampu menjamin kestabilan politik di negeri berkenaan atau hanya sekadar mahu meneruskan kelangsungan parti politik tertentu semata-mata.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Wanita Prihatin (PIWP), Hamsatul Hamzah berkata, ahli-ahli politik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sepatutnya bekerjasama dalam menangani masalah rakyat terutamanya mereka yang masih terkesan akibat banjir di negeri berkenaan.

“Katakanlah, akan ada tampuk kepimpinan yang baharu, adakah sesiapa yang akan menang PRN kelak akan menjamin kestabilan politik?

“Buat masa sekarang, tidak kira siapa di dalam DUN Johor kita mengharapkan kerjasama mereka untuk lebih fikirkan kebajikan rakyat, berbanding kepentingan parti politik masing-masing,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Katanya, PRN Johor tidak sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini sekiranya pihak yang mendesak itu lebih memikirkan kesusahan yang sedang dialami rakyat serta risiko varian baharu Omicron.

“Dengan keadaan semasa yang ada sekarang ini, rakyat mengharapkan perkara yang lebih penting jika dibandingkan dengan PRN. Kita juga tahu mutasi virus ini penyebarannya adalah pada kadar yang pantas berbanding yang sebelum ini.

“Kalau kita masih belum mengekang dahulu penularan ini, tidak perlulah diadakan PRN kerana mungkin ia boleh menjadi salah satu sebab penularan yang lebih serius di masa hadapan,” ujarnya.

Baca berita berkaitan: [VIDEO] PRN Johor: Jangan fikir ‘periuk nasi’ sendiri sahaja- Penganalisis

Menurut Hamsatul, kos yang tinggi untuk mengadakan PRN sepatutnya boleh diutamakan kepada kebajikan rakyat terutamanya mangsa banjir sebagai suntikan dana untuk memulakan kehidupan baharu.

“Lebih baik salurkan kepada kebajikan rakyat berbanding melaburkan atau membelanjakan wang itu kepada PRN. Andai kata mereka prihatin dengan kebajikan rakyat. Perlu difikirkan yang mana baik, dan yang mana akan mendatangkan mudarat,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hamsatul turut berpandangan bahawa kestabilan pentadbiran kerajaan dalam negeri akan terjejas sekiranya pemimpin atau kerajaan bertukar ganti berulang kali dalam tempoh masa yang pendek.

“Hendak berapa kali tukar pemimpin atau kerajaan? rakyat juga pening. Bila banyak sangat berlaku pertukaran pemimpin ia akan menjejaskan kestabilan dari sudut pentadbiran kerajaan negeri.

“Pentadbiran dengan pemimpin itu berbeza. Bila asyik bertukar ganti, agensi-agensi kerajaan tidak dapat ditadbir urus dengan efisien,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Prihatin (PBP), Shaarie Khalid berkata, rakyat sudah bosan dan muak dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan sekiranya menilai trend semasa.

“Perkara ini boleh membuatkan rakyat hilang hilang hormat dan kepercayaan kepada ahli politik. Malah boleh jadi rakyat juga sudah malas nak ambil tahu tentang isu semasa politik,” katanya ketika dihubungi.

Baca berita berkaitan: Kalau ‘gentleman’, tunggu PRU kata penganalisis kepada pendesak PRN Johor

Katanya, desakan untuk mengadakan PRN Johor dalam masa terdekat itu tidak memberi nilai tambah kepada kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat yang masih lagi terbeban dan penat dengan permainan politik.

“Mungkin ahli politik itu lebih tahu apa motif mereka yang sebenarnya. Cuma perkara ini tidak sesuai untuk masa sekarang.

“Dengan isu rakyat yang masih belum selesai, perkara ini memberi bebanan kepada rakyat untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka,” ujarnya. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here