[VIDEO] Isu Rohana ada merit untuk diselesaikan

0
643

ISU Rohana Abdullah yang berdepan masalah mendapatkan status kerakyatan mampu diselesaikan berdasarkan maklumat dan dokumen sokongan yang dikumpul setakat ini. 

Timbalan Menteri Perpaduan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya telah meminta kementerian yang terbabit memberi kerjasama sepenuhnya kepada Rohana, 22, untuk meneliti dan membantu selesaikan isu kerakyatan gadis itu.

“Dari segi merit, dia layak, bukan kerana dia Melayu, tapi dia layak.

“Saya harap kementerian yang terbabit boleh memberi kerjasama penuh kepada Mak Cik Hoi Lan dan adik Rohana untuk masa depannya,” katanya kepada pemberita dalam kunjungan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tun Hanif Omar ke kediaman warga emas itu, pada Rabu.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) itu berkata, hubungan akrab dan kasih sayang yang tiada bandingan antara Chee Hoi Lan dan Rohana Abdullah boleh dijadikan contoh naratif perpaduan dalam konteks semasa negara.

Katanya, beliau tersentuh membaca kisah gadis berkenaan dan kagum dengan kesungguhan Rohana yang tidak berputus asa untuk mendapatkan status kerakyatan.

Tambah beliau, jasa penjaga Rohana, Chee Hoi Lan, 83, perlu diiktiraf kerana berjasa kepada Rohana dan ibunya selain memastikan masa depan gadis itu terbela.

“Terima kasih kepada apa yang Mak Cik Hoi Lan buat. Inilah tanda muhibah yang perlu kita ceritakan kepada generasi lain,” katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau juga berpeluang meneliti sijil pencapaian milik Rohana ketika bersekolah sebelum ini.

Sementara itu, Rohana berkata, dia terharu dengan kedatangan kedua-dua kenamaan yang mengambil berat mengenai dirinya dan Hoi Lan.

“Terima kasih banyak kerana membantu. Saya hargainya,” katanya.

Terdahulu, kisah gadis yang bekerja sebagai pengajar di sebuah pusat tuisyen itu tular kerana bergelut untuk mendapatkan taraf kerakyatan bagi membolehkan dia meneruskan hidup pada masa depan.

Kisah itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghubungi Rohana dan ingin membantu gadis terbabit. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here