Bot bawa 27 pendatang tanpa izin karam, dua lemas di Teluk Ramunia

0
463

SEBUAH bot yang membawa 27 pendatang tanpa izin karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang, dekat Kota Tinggi, Johor, pagi tadi dan setakat ini, dua disahkan lemas.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata dalam kejadian itu, seramai 19 orang ditemui selamat terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki, manakala dua wanita ditemui lemas.

“Baki enam orang mangsa masih hilang di laut. Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat Johor Bahru (MRSC) telah mengaktifkan OP CARILAMAT pada jam 6.40 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nurul Hizam berkata terdahulu, pada jam 3.45 pagi radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia telah mengesan satu sasaran yang mencurigakan sedang bergerak dari perairan Pulau Bintan, Indonesia menuju ke perairan negara, dan telah menyalurkan maklumat kepada aset Tentera Laut Diraja Malaysia KD Sri Indera Sakti yang sedang dalam penugasan Op Benteng.

Berikutan itu, TLDM telah mengesan bot berkenaan pada jam 4.10 pagi dan didapati bot tersebut bertindak melarikan diri secara agresif dan merbahaya sebelum karam di kedudukan 0.8 batu nautika Teluk Ramunia pada jam 4.50 pagi tadi.

Ini merupakan kejadian kedua bot karam dalam minggu ini sahaja melibatkan ramai pendatang tanpa izin lemas.

Tiga hari lepas, seramai enam wanita warga Indonesia lemas manakala tujuh terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pontian Besar. — BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here