Elyana mahu fokus kepada anak-anak

0
720

TIADA apa paling menggembirakan wanita yang satu ini apabila perjuangan selama 11 tahun melawan kanser akhirnya membuatkan hasil apabila dia disahkan bebas sepenuhnya daripada menghidap penyakit paling ditakuti ramai itu.

Kegelapan yang dilalui diibaratkan berakhir dan dia bertekad mahu menikmati kehidupan baharu bersama suami dan anak-anak setelah sekian lama mereka berkorban untuk dirinya.

“Saya sudah 22 tahun terlibat dalam bidang seni dan kalau nak diikutkan memang sudah pasu bekerja. Ini masa untuk saya bersama dengan anak-anak.

“Kalau boleh biarlah saya mencipta memori dengan mereka pula. Saya sendiri tak mahu apabila besar nanti, mereka hanya ingat dengan penderitaan dan kisah menjaga ibu sakit sahaja,” kata penyanyi ini lagi.

Pastinya apa yang dikatakan oleh Elyana akan merobek hati sesiapa sahaja. Dia yang berjuang melawan kanser limfoma sudah melakukan pelbagai rawatan sejak 11 tahun lalu.

Begitu juga dengan pelbagai gambar yang dimuat naik dalam media sosial miliknya yang sedang melakukan kemoterapi dan radioterapi- sesiapa sahaja akan terkesan melihat semangatnya melawan penyakit tersebut.

Namun begitu, Elyana mendedahkan yang ada kala dia berputus asa dan reda dengan apa juga takdir yang bakal dihadapinya.

“Sejak dahulu orang selalu cakap yang setiap ujian pasti ada rahmat. Dan sekarang barulah perkara tersebut terjadi kepada saya.

“Ini adalah perkara indah yang saya nanti-nantikan. Saya mahu terus kuat untuk menjalani kehidupan pada masa hadapan, katanya yang masih lagi meneruskan rawatan untuk memastikan sel kanser tidak kembali dalam tubuhnya.

Terdahulu, Elyana mengejutkan peminat apabila mengumumkan yang dirinya merupakan ‘cancer survivor’ selepas tersingkir dalam Konsert Gegar Vaganza ke-4 pada tahun 2017.

Dia sekali lagi membawakan berita gembira kira-kira sebulan yang lalu apabila mengumumkan sudah bebas daripada kanser setelah lebih sedekad berjuang.

Untuk rekod Elyana bernikah dengan Khairul Anuar Husin dan dikurniakan Cinta Sumayyah, 12 dan seorang anak angkat, Cahaya Ramadhani, 3.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here