Persembahan kurang baik, Shidee & Ani Mayuni musnah impian sendiri ke final GV8

0
609

KEJUTAN berlaku sempena Konsert Gegar Vaganza (GV8) malam tadi apabila dua peserta disingkirkan sekali gus sebelum konsert akhir berlangsung minggu berikutnya.

Penyanyi veteran Shidee dan Ani Mayuni terpaksa mengucapkan selamat tinggal apabila mereka berdua disingkirkan bersama-sama dalam konsert yang berlangsung pada Ahad.

Shidee yang membawakan lagu Sedetik Lebih (Anuar Zain) dan Kerna Dia (Yassin) menerima markah paling rendah sebanyak 58.3 peratus sahaja.

Ani pula menerima 61 peratus menyanyikan lagu Lets Get Loud (Jennifer Lopez) dan Sumpah (Aina Abdul).

Menurut Datuk Ramli MS selaku juri tetap, penyingkiran mereka berdua dipersetujui sebulat suara oleh kesemua juri pada malam tersebut.

“Sepertimana semua lihat, markah kedua-dua mereka merupakan paling rendah. Shidee memang sudah dijangka, manakala nyanyian Ani kedua-dua lagu tidak begitu bagus. Lagu slow dan fast macam berlenggang.

“Juri sebulat suara dan kalau tengok pengiraan markah pun agak sepadan dengan persembahan mereka. Persembahan mereka juga tidak begitu bagus,” kata Ramli.

Selain Ramli konsert itu juga diadili oleh Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap. Datuk Rosyam Nor pula bertindak selaku juri jemputan.

Dalam konsert itu juga, Aweera membuat kejutan apabila menduduki tempat pertama diikuti Nikki Palikat dan Aliff Aziz pada kedudukan berikutnya.

Peserta lain yang mara ke pertandingan akhir terdiri daripada Azan Scan, Adibah Noor dan Suki Low.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here