Sharif dan Syaiful zahir impian beli bot untuk orang kampung

0
447

JIKA sebelum ini mereka pernah berniat untuk membeli bot bagi kegunaan penduduk kampung sebaik sahaja diumumkan sebagai juara program Maharaja Lawak Mega (MLM2021), hasrat tersebut sudsh pun ditunaikan.

Jelas Sharif, adiknya Syaiful sudah pun menguruskan hal pembelian bot nelayan bagi kegunaan orang kampung untuk mencari rezeki seperti mana yang mereka hajatkan.

“Alhdulillah kami sudah menguruskan hal tersebut dan sekarang Syaiful berada di kampung untuk menguruskan hal pembelian bot bagi kegunaan orang kampung.

“Di kampung ada ramai golongan remaja yang tiada pekerjaan. Kami berharap inisiatif ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan remaja. Ini sedikit sebanyak usaha kami untuk membantu mereka,” kata Sharif baru-baru ini.

Terdahulu, Sharif yang bergabung bersama Shaiful dan Danial Zaini membentuk kumpulan Tiro sempena MLM2021 dan berjaya menewaskan beberapa kumpulan popular yang lain.

Tambahnya lagi, bot nelayan yang berharga RM120,000 itu boleh memuatkan hampir 18 orang dalam satu masa.

“Kami beli bot yang sederhana sahaja cukuplah menampung anak-anak muda yang nak mencari rezeki.

“Daripada hasil tangkapan dan jualan, mereka akan bahagi sama rata. Ini sahaja usaha kami untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Sharif menafikan kumpulan Zero yang merupakan gabungan dia bersama Saiful dan Atu sudah berpecah seperti didakwa ramai pihak.

Tambahnya, Tiro hanyalah kumpulan projek dan mereka masih bersama Zero seperti dahulu.

“Walaupun Atu tidak bersama kami, tetapi, Zero tidak akan berpecah. Ini kerana kami adalah adik beradik. Saya pernah menjelaskan Tiro hanyalah projek khas. Siapa tahu kami bergabung semula.

“Lagipun, Tiro ada perancangan untuk muncul dalam sitkom. Jadi, kami bercadang mengundang rakan-rakan pelawak lain juga,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here