Tiket laku keras, Khai Bahar gembira sambutan hangat peminat

0
550

Gembira dengan sambutan hangat yang diterima, penyanyi Khai Bahar, 28, bersyukur apabila kesemua tiket menyaksikan konsertnya habis dijual dalam masa yang singkat.

Kesemua 300 tiket Konsert Nafas Cinta Khai Bahar yang bakal diadakan di PJ Pac 1 Utama Shopping Centre pastinya menjadi rebutan peminat meskipun tiket virtual tetap dijual.

“Alhamdulillah, saya tidak menjangka tiket boleh habis dengan begitu pantas. Sejujurnya, saya hilang kata- kata apabila dimaklumkan perkara ini. Sudah tentu, saya gembira dan teruja kerana ia sesuatu yang cukup membanggakan.

“Apa saya boleh katakan, peminat yang membeli tiket ini anda memang luar biasa. Saya juga nak berterima kasih kepada semua yang sudah membeli tiket.

“Bagi saya, ini adalah tanda sokongan anda buat saya yang mana tanpa jemu. Walau apa yang saya buat, baik dalam nyanyian atau lakonan anda semua tetap ada bersama saya,” katanya ketika ditemui dalam sidang media pada Khamis.

Sudah pasti sambutan hangat yang diberikan peminat dijadikan azimat untuk Khai melakukan yang terbaik dalam menghiburkan peminat.

Jelasnya, pihak penganjur sudah melakukan yang terbaik dalam merealisasikan konsert ini dan yang tinggal hanyalah dirinya sahaja untuk memastikan malam 12 Februari nanti menjadi saksi segala-galanya.

“Sebagai penyanyi tentu saja mahukan konsert yang bakal dijayakan berjaya. Alhamdulillah, peringkat awal konsert ini sudah berjaya. Tinggal lagi kita nak merealisasikan konsert ini.

“Biarpun perasaan gementar itu ada dalam diri, saya percaya kehadiran peminat yang sudah membuatkan tiket konsert ini habis terjual membuatkan saya tidak sabar untuk menghiburkan mereka.

“Saya mahu menjadikan malam konsert ini nanti sebagai satu lagi kenangan terindah dalam kerjaya dan juga buat seluruh peminat yang menonton secara fizikal atau virtual,” tambahnya lagi.

Selain Khai konsert ini juga bakal menampilkan Adira dan Aina Abdul sebagai penyanyi jemputan.

Bagi mereka yang terlepas peluang untuk menyaksikan konsert secara fizikal, masih berpeluang menyaksikan konsert secara langsung oleh CloudTheatre.

Mereka boleh menonton konsert tersebut di rumah atau di mana saja mereka berada menerusi gajet masing-masing dengan 1080 definisi tinggi (HD).

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya pula, penyanyi yang popular dengan lagu Bayang ini mengakui masih selesa memegang status solo.

Kesibukan tugas sebagai anak seni ada kalanya membuatkan dia tidak sempat berfikir mengenai hal yang satu itu- mencari pasangan hidup.

“Buat masa ini saya memang belum ada kekasih kerana tumpuan saya hanya pada kerjaya semata-mata sekarang.

“Tentang soal kahwin pula, sasaran saya adalah pada usia 30 tahun dan ke atas. Tak kisahlah jodoh saya itu nanti sama ada artis atau orang biasa,” katanya tanpa berselindung.

Meskipun namanya sering kali dikaitkan dengan beberapa artis wanita yang lain, dia menganggap perkara tersebut sebagai gosip semata-mata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here