Tengku Maimun tidak pernah didekati pihak tertentu campur tangan kes mahkamah

0
32

KETUA Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata beliau tidak pernah didekati oleh pihak-pihak tertentu untuk campur tangan dalam keputusan kes mahkamah.

Tengku Maimun berkata beliau percaya bahawa hakim lain juga tidak pernah mengalami perkara sama dan menegaskan semua hakim membuat keputusan berdasarkan keterangan di mahkamah dan tidak boleh lari daripada prinsip tersebut.

“Memang kita ada dengar daripada televisyen bahawa bekas Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah didekati, tetapi tiada sesiapa menghubungi saya secara peribadi untuk meminta pertolongan begitu (campur tangan).

“Tetapi jika ada sesiapa menghubungi, kita boleh kata tiada apa yang boleh dilakukan kerana apa yang berlaku dalam mahkamah bergantung kepada bukti dan keterangan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas pada majlis hari ini yang menyentuh mengenai perutusan Muhyiddin tahun lalu bahawa beliau menerima rayuan pihak tertentu untuk campur tangan dalam keputusan kes mahkamah.

Ditanya pemberita mengenai siaran media sosial berhubung kes mahkamah berprofil tinggi antara lain melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tengku Maimun berkata orang ramai berhak menyuarakan pandangan mereka tetapi badan kehakiman akan menyampaikan keputusan mengikut prinsip undang-undang.

“Mereka ingin memberitahu seluruh dunia tentang sisi cerita mereka. Bagi kami ia tidak menjadi masalah kerana apa yang penting adalah bukti yang dibawa ke mahkamah dan itu akan menjadi asas kepada keputusan kami berkenaan kes-kes tersebut,” kata Ketua Hakim Negara.

Mengulas mengenai isu yang sama, Tengku Maimun berkata peguam juga tertakluk kepada prosiding menghina tetapi ia bergantung kepada kenyataan yang mereka nyatakan.

“Prosiding menghina ada untuk melindungi imej badan kehakiman sebagai sebuah institusi tetapi kami juga sangat jelas bahawa prosiding itu perlu diambil secara berhemat. Bagi tindakan peguam, mereka juga tertakluk kepada kod etika peguam di bawah Akta Profesion Undang-Undang,” katanya.

Sementara itu, Tengku Maimun berkata hukuman yang diputuskan oleh mahkamah rendah boleh disemak oleh Mahkamah Tinggi jika didapati ia berlebihan atau kurang sesuai mengikut undang-undang sedia ada.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi boleh memanggil semula rekod kes berkenaan bagi tujuan semakan.

“Maka dibolehkan di bawah undang-undang untuk memanggil rekod kes berdasarkan kuasanya untuk menyemak keputusan mahkamah rendah,” katanya ketika diminta mengulas berhubung keputusan Mahkamah Majistret Selayang semalam yang menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap seorang remaja lelaki berusia 19 tahun atas dakwaan cuba mencuri tabung masjid.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Daniel Iskandar selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tular dalam media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here