KPLB letak sasaran, 2022 percepat projek pembangunan luar bandar demi rakyat – Mahdzir

0
234

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meletakkan sasaran tahun 2022 sebagai tahun menyegerakan setiap projek pembangunan di luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, KPLB memerlukan anjakan paradigma dalam proses kerja bagi mengelakkan tempoh masa terlalu lama diambil dalam pelaksanaan projek sehingga menjejaskan kepentingan rakyat.

“Sekarang ini masa untuk kita fikirkan dengan dunia teknologi digital, bagaimana kaedahnya untuk kita mempercepatkan proses pelaksanaan projek, bagaimana kita nak buat, sekarang ni kita tak boleh buat, semua orang kata sekarang tak boleh buat, jadi bagaimana kita nak mengubah paradigma ini.

”Ini menjadi satu cabaran baharu kepada kita untuk mempercepatkan proses. Insya Allah-kita boleh deliver kepada rakyat lebih baik kalau kita sama-sama dapat memikirkan, sebab kita nak masuk tahun baharu, kita nak masuk dalam RPII (Rolling Plan 2) Rancangan Malaysia Ke-12,”

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 KPLB di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri (1) Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, ketua-ketua agensi dan pengurusan tertinggi kementerian itu.

Mahdzir menegaskan, semua warga KPLB perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk merealisasikan anjakan paradigma untuk mengelakkan daripada terus berada di dalam kepompong yang sama.

Beliau turut membayangkan untuk KPLB meningkatkan lagi pencapaiannya dengan meletakkan tagline baharu iaitu ‘Luar Bandar, Luar Biasa’.

Pencapaian luar biasa itu katanya boleh digapai oleh KPLB berdasarkan kejayaan melaksanakan perbelanjaan pembangunan lebih 99 peratus pada tahun lalu.

Dalam amanatnya juga Mahdzir berkata, KPLB mempunyai mandat dalam bidang pendidikan iaitu Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional, TVET.

“Sudah sampai masanya semua kementerian berkaitan duduk bersama dalam satu task force untuk memikirkan pelan Pendidikan Awal Kanak-kanak 2.0 supaya lebih sesuai dengan keperluan dan perkembangan dunia semasa. Antaranya termasuk menaiktaraf Guru Tabika KEMAS lulusan Diploma kepada Ijazah Sarjana Muda,” katanya.

Bagi bidang pendidikan TVET kata beliau, institusi TVET KPLB perlu mengelakkan terlalu banyak pertindihan kursus yang sama dan tidak bersesuaian dengan kehendak pasaran pekerjaan.

“Kita tidak mahu timbul masalah pelajar ambil kursus kemudian dapat sijil tetapi tidak mendapat pekerjaan. Kita tidak boleh ambil pendirian hanya mahu penuhkan institusi pengajian tetapi tidak dapat memenuhi kehendak industri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here