KPDNHEP rampas pakaian sukan tiruan jenama popular bernilai RM60,500

0
19

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pakaian sukan jenama popular tiruan bernilai RM60,500 dalam serbuan di sebuah stor di Kuala Kangsar Prima, Kuala Kangsar, semalam.

Operasi berkenaan dijalankan pada pukul 11 pagi hasil maklumat dan aduan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mendapati pengedaran dan penjualan pakaian berjenama tiruan itu secara dalam talian.

Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Kangsar, Ahmad Puat Abdul Hamid berkata, operasi membabitkan tujuh penguat kuasa KPDNHEP Kuala Kangsar bersama wakil pemilik cap dagang itu menemukan pakaian sukan berjenama tiruan antaranya Adidas, Levi’s dan Nike disimpan di stor itu.

“Pakaian terbabit diiklankan di dalam talian pada harga lebih murah dari pasaran semasa bagi menarik perhatian pembeli.

“Pakaian itu dibekalkan pembekal dari Lembah Klang yang mengimportnya dari luar negara dan ia disita untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perniagaan terbabit didaftarkan atas nama seorang wanita berusia 31 tahun yang dipercayai menjalankan perniagaan itu bersama suaminya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan, barangan yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan secara salah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here