Idris kesal jemaah umrah tipu sijil vaksin

0
516

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad kesal dengan tindakan jemaah umrah yang memalsukan sijil vaksin untuk menunaikan umrah di Makkah baru-baru ini. 

Katanya, jemaah umrah sepatutnya jujur serta mengikut peraturan ditetapkan dalam usaha kerajaan menangani penularan COVID-19.

Justeru, beliau menyerahkan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyiasat perkara itu sehingga menyebabkan segelintir jemaah boleh terlepas mengerjakan ibadah umrah tanpa mendapatkan vaksinasi .

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku terutama bagi mengerjakan ibadah ke Tanah Suci, sekiranya sumber kewangan yang digunakan perlu halal apatah lagi memalsukan sijil vaksinasi.

“Kita akan panggil penganjur terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut kenapa perkara ini boleh terjadi dan tindakan ke atas syarikat atau menyenarai hitam adalah di bawah Kementerian Pelancongan,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Banjir, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary dan Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Hakimah Yusoff. 

Jumlah sumbangan adalah sebanyak RM338,000 membabitkan seramai 338 kakitangan di bawah agensi Hal Ehwal Agama.

Minggu lalu media melaporkan, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan terdapat jemaah umrah dari Malaysia yang pulang ke tanah air disahkan positif COVID-19 varian Omicron dan apa yang mengejutkan ada antara mereka tidak divaksinasi.

Sementara itu, tular di media sosial Instagram seorang Ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq tampil membuat pengakuan secara terbuka menjelaskan bahawa dirinya adalah individu yang membawa jemaah yang tidak divaksinasi itu ke Tanah Suci dan mengaku dirinya tidak divaksinasi.

Idris berkata, pihaknya akan mengadakan program pendidikan kepada semua pihak supaya perkara ini tidak berulang.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan dari kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu dan berharap ia tidak mencemarkan nama baik Malaysia dari segi penganjuran ibadah haji.

“Bagi ibadah haji tahun ini yang dibincangkan pihak pengurusan Tabung Haji (TH) dengan kerajaan Arab Saudi pada Disember lalu keutamaan diberikan kepada giliran jemaah 2020/2021, namun kuota jumlahnya masih menunggu keputusan dari kerajaan Arab Saudi,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here