“Salurkan segera bantuan kepada mangsa banjir’’ – Muhyiddin

0
280

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi berharap segala bantuan kepada mangsa banjir hendaklah disalurkan secepat mungkin.

Katanya, golongan itu sangat memerlukannya lebih-lebih lagi menjelang Thaipusam dan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

‘’ Pastinya bantuan ini sedikit sebanyak memberi sinar kegembiraan kepada mereka yang akan merayakannya,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau malam ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa  yang menjadi harapan mangsa-mangsa banjir  adalah bantuan pasca banjir dapat diteruskan selepas musibah berakhir.

‘’Bantuan yang diperlukan termasuklah kerja-kerja membersihkan rumah, membaiki kerosakan dan kemusnahan serta menyediakan tempat tinggal sementara bagi mereka yang kehilangan tempat berlindung,’’ katanya.

Hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh meluangkan masa meninjau sembilan Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir dalam Parlimen tersebut.

PPS tersebut adalah Durian Chondong yang menempatkan 15 keluarga, Felda Sri Jaya (10), Sekolah Agama Penchu (10), SJKC Kung Yu, Kundang Ulu (36), Sek. Agama Bukit Rahmat (21), SK Bukit Rahmat (31), SJKC Pei Eng (34), SMK Sultan Alauddin Riayat Shah 1 (80) dan Dewan Serbaguna Pagoh (31 keluarga).

Muhyiddin berkata, walaupun keadaan cuaca sudah baik dan tidak lagi hujan, masih ada mangsa banjir yang perlu berlindung di PPS kerana kawasan atau rumah mereka digenangi air.

“Sepanjang berbual dan menyantuni mereka,  rata-rata melahirkan rasa puas hati dengan kemudahan dan layanan yang diterima ketika berada di pusat penempatan sementara ini.

“Keperluan asas seperti makanan, pakaian serta penjagaan kesihatan terjaga.

‘’Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada frontliners, para sukarelawan dan orang perseorangan yang berterusan membantu mangsa banjir ini. Jasa dan sumbangan anda semua sungguh besar nilainya dan tidak terbalas,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here