Polis siasat laporan enam sukarelawan Muda beri bantuan banjir tanpa ikut saluran

0
470

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

POLIS akan menyiasat laporan terhadap enam sukarelawan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang didakwa memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Segamat dengan tidak mengikut saluran ditetapkan pihak berkuasa.

Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan akan dilakukan secara adil dan saksama sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang termasuk tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) .

“Jika terdapat laporan polis yang diterima maka menjadi tanggungjawab pihak polis untuk menjalankan siasatan dan hasil siasatan akan dirujuk kepada pejabat Peguam Negara sebelum pertuduhan dibuat.

“Polis Johor tidak beranggapan bahawa mana-mana sukarelawan daripada badan bukan kerajaan atau parti politik yang memberi bantuan adalah melakukan kesalahan undang-undang.

“Kerajaan negeri Johor melalui pejabat-pejabat daerah telah mengeluarkan tatacara, SOP dan peraturan bagi tujuan penyelarasan dan keselamatan demi kebaikan semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini mendakwa enam sukarelawan Muda disiasat polis kerana menyampaikan bantuan banjir secara terus kepada pemohon dan tidak meletakkan bantuan itu ke tempat yang dikhususkan.

Bagaimanapun Syed Saddiq yang juga Presiden Muda memohon maaf dan mengharapkan budi bicara pihak berkuasa terhadap sukarelawan parti itu yang turun padang memberi bantuan kepada mangsa banjir di Segamat.

Kata Syed Saddiq, beliau mengambil tanggungjawab penuh di atas kekhilafan anggota sukarelawan Muda yang turun memberi bantuan terus kepada mangsa banjir tanpa melalui prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa daerah, namun menegaskan mempunyai sebab kukuh berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, pihaknya maklum dan meneliti sidang media yang dilakukan ahli politik terbabit pada hari ini yang menyentuh isu pemberian bantuan tersebut.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh seorang penjawat awam.

Jika disabitkan kesalahan katanya, boleh dihukum penjara hingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Polis Johor menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian seperti media sosial dan platform lain untuk melakukan sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengganggu-gugat ketenteraman dan keselamatan awam berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here