Kedai percuma Aznil untuk mangsa banjir

0
617

TIDAK betah duduk diam, pengacara Datuk Aznil Haji Nawawi turun padang membantu mangsa banjir yang terlibat dalam musibah bulan lalu.

Saban hari, dia tidak tidur malam memikirkan nasib mereka yang terjejas dan simpati dengan nasib sebahagian daripada mereka yang terpaksa membina hidup baharu dalam serba kekurangan.

Sempat mengumpulkan rakan-rakan terdekat dan sejumlah sukarelawan baru-baru ini, Aznil turun padang ke Bukit Canggung, Banting untuk membantu mereka yang terjejas.

“Ideanya tercetus selepas usaha pemberian bantuan kepada mangsa banjir tempoh hari di situ. Saya sebelum ke sana sebenarnya turut dihubungi oleh salah seorang pengikut dalam Instagram berkongsi sisi ceritanya mengenai kemusnahan akibat banjir.

“Malah ketika menjejaki kawasan itu, saya lihat ramai penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Jelasnya, bermodalkan wang yang dikumpulkan dalam kalangan pengikut Instagram, mereka membeli makanan dan memasak secara gotong-royong sahaja.

Ketika itu, mereka berjaya menyediakan 1,000 bungkusan makanan yang diagihkan kepada mangsa banjir yang berada di situ.

“Ketika itu saya tinjau dan amati, kesemua mereka terpaksa mengumpul barang semula dan membaik pulih rumah mereka.

“Bahkan barang keperluan asas mereka tiada langsung. Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan,” jelasnya lagi.

Rentetan daripada itu, tercetuslah idea untuk mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil bermula 30 Disember lalu dengan kerjasama beberapa jenama seperti Eskayvie dan Nakada.

Antara barang-barang keperluan yang ada termasuklah barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin bayi dan sebagainya.

“Timbul idea juga untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi duit sumbangan orang ramai.

“Saya beli sendiri barangan itu menggunakan duit sumbangan diberikan dan kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Paknil,” katanya.

Jelasnya, mangsa banjir boleh ke kedai itu untuk mengambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka sahaja.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here