Kontraktor didakwa lagi rasuah penjawat awam RM20,000

0
504

SELEPAS didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor tahun lepas atas pertuduhan memberi rasuah kepada penjawat awam, seorang kontraktor hari ini didakwa lagi atas kesalahan sama di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, kali ini melibatkan jumlah rasuah RM20,000.

Amir Ali, 46, didakwa telah memberi suapan wang tunai RM20,000 kepada seorang jurutera daerah yang bertugas di Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor sebagai dorongan untuk mendapatkan anggaran harga jabatan dan kerja-kerja menaik taraf fasiliti serta kemudahan asrama pelajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Hulu Selangor, Selangor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Bukit Bintang di sini, sekitar April tahun lepas, mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pada 21 Disember tahun lepas, Amir dan adiknya Asdi Ali didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan yang sama melibatkan jumlah rasuah RM83,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama kes rasuah membabitkan Amir sebelum ini. 

“Tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan dan ia melibatkan siasatan dan saksi yang sama. Mohon kes dipindahkan ke mahkamah di sana,” katanya.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM20,000 serta syarat tambahan yang telah ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 21 Disember tahun lepas.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh mengguna pakai ikat jamin dan syarat tambahan sama seperti yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam itu, selain turut membenarkan kes dipindahkan ke mahkamah berkenaan.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here