KKM siasat dakwaan 18 kes libat penerima vaksin Covid-19 di penjara

0
460

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah menjalankan siasatan dan sedang menunggu untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung dakwaan 18 kes mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI) serius melibatkan banduan yang menerima vaksin Covid-19 di Penjara Kajang.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata siasatan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Katanya, sebaik mendapat maklumat lengkap, laporan siasatan akan dibentangkan untuk dinilai Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) bagi mengesahkan kausaliti atau hubungkait antara vaksin dengan kesan advers yang dilaporkan.

“KKM akan memaklumkan situasi semasa laporan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata NPRA memantau secara berterusan keselamatan penggunaan semua vaksin termasuk vaksin Covid-19 melalui pemantauan laporan AEFI.

Menurutnya, semua laporan dinyatakan dalam surat oleh Jabatan Penjara seperti tular di media sosial telah diterima pihak NPRA.

“Laporan-laporan AEFI yang diklasifikasikan sebagai serius termasuk melibatkan kematian sedang dalam proses penyiasatan,” katanya.

Terdahulu, tular surat Jabatan Penjara menyatakan berlaku 18 kes yang disiafatkan serius dan telah dilaporkan kepada NPRA melibatkan banduan Penjara Kajang yang menerima vaksin Covid-19.

Daripada jumlah tersebut, dua kes dilaporkan melibatkan kematian manakala empat kelumpuhan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here