Difitnah netizen, YouTuber tuntut RM1 juta

0
512

Merasakan tuduhan dan fitnah yang dilemparkan dalam media sosial sebagai melampau, YouTuber popular, Aqil Zulkifli menuntut permohonan maaf dan pampasan RM1 juta terhadap seorang wanita baru-baru ini.

Pengurus krisis dan jurucakap Aqil Zukiflee berkata, yang notis tuntutan tersebut telah dihantar melalui serahan tangan dan pos berdaftar oleh firma guaman yang dilantik pada minggu ini. 

“Aqil Zulkiflee mengambil tindakan undang-undang tersebut bagi melindungi jenama peribadi, imej dan reputasi beliau,” kata Saiful Ridzuan selaku jurucakap.

Semuanya bermula pada 24 Disember tahun lalu, seorang wanita yang dikenali dengan nama Siti Solehah Mohamed Ali yang menggunakan aplikasi Facebook dengan nama pengguna Auntie Soleha telah memuatnaik, menulis dan menerbit satu penyiaran yang didakwa berbaur fitnah.

Melalui kenyataan yang dimuatnaik, wanita tersebut telah menulis dan membuat dakwaan yang Aqil adalah seorang yang sombong dan berlagak dan berpura-pura baik di dalam media sosial.

Dia juga dikatakan tidak beradab, penipu, tidak hormat kepada peminat dan orang tua, tidak suka kepada kanak-kanak serta merupakan seorang yang talam dua muka.

Sementara itu, peguam Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors yang mewakili Aqil Zulkilfee menegaskan yang komen-komen yang dilemparkan oleh individu tersebut kepada anak guam mereka jelas menunjukkan yang ianya bersifat fitnah, palsu dan kesemuanya merujuk kepada anak guam beliau.

“Anak guam telah menerima pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat berikutan komen-komen yang tidak benar yang telah menjatuhkan reputasi dan mencalar kredibiliti beliau,” kata Nurul Hafidzah. 

Kenyataan-kenyataan fitnah yang telah dimuatnaik di akaun Facebook tersebut telah dikongsi sebanyak 110 kali dan menerima lebih dari 350 reaksi dari netizen termasuk sorotan skrin yang dikongsikan lebih dari 1200 kali oleh seorang pengguna akaun di laman media sosial tersebut. 

Aqil mengambil tindakan undang-undang tersebut kerana mendakwa sikap tidak bertanggungjawab individu tersebut telah menyebabkan beliau mengalami malu, tekanan emosi dan kesedihan apabila masyarakat mempercayai dakwaan kenyataan-kenyataan fitnah yang ditulis. 

Jika tiada permohonan maaf dibuat dalam masa tujuh hari dan pembayaran RM1 juta atau ganti rugi yang setimpal dibayar kesan daripada tindakan menyebarkan sebaran fitnah tersebut, Aqil akan terus memfailkan tuntutan di mahkamah

Untuk rekod, Aqil merupakan pemenang kategori YouTuber Popular sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-34 baru-baru ini.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here