Surau As Sobirin SBCR santuni mangsa banjir

0
576

SURAU As Sobirin, Sungai Buloh Country Resort (SBCR), Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini telah mengadakan misi bantuan pasca banjir kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan dan Kampung Baru HICOM, Selangor.

Misi bantuan itu disertai kira-kira 20 sukarelawan yang terdiri daripada ahli kariah surau tersebut dan diketuai oleh Pengarah Misi Bantuan Banjir Surau As Sobirin, Datuk Kamal Malik serta Pengerusi Surau, Fakhrudin Husain.

Pengarah Misi Bantuan Banjir Surau As Sobirin, SBCR Datuk Kamal Malik menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada mangsa banjir di Kampung Serian Batu 11, Gua Musang.

Pengarah Misi Bantuan Banjir Surau As Sobirin, Datuk Kamal Malik berkata, pelbagai barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, peralatan dapur, kitab al-Quran, sejadah dan telekung solat serta bantuan wang tunai diagih-agihkan kepada kira-kira 30 keluarga yang terkesan teruk di dua buah kampung iaitu Kampung Serian Batu 11 dan Kampung Limau Kasturi.

Tambahnya, sumbangan tersebut adalah hasil derma orang ramai kepada Tabung Mangsa Banjir Surau As Sobirin yang diaktifkan setiap kali tiba musim banjir.

“Beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Global Peace Malaysia turut menyumbang kotak-kotak makanan untuk diberikan kepada penduduk di dua buah kampung yang terletak di pedalaman Gua Musang itu.

“Keadaan di kampung tersebut sungguh menyayat hati, sebahagian besar rumah rosak teruk menyebabkan majoriti penduduk kampung kehilangan harta benda manakala jalan utama yang menghubungkan mereka dengan dunia luar juga hampir terputus,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Surau, Fakhrudin Husain berkata, sukarelawan Surau As Sobirin turut menyumbang kira-kira 300 bungkusan makanan segar kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Baru HICOM yang teruk dilanda banjir.

Menurut beliau, misi bantuan pasca banjir ini akan diteruskan ke beberapa lagi kawasan yang telah dikenal pasti minggu depan.

Kepada orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh menghulurkan sumbangan kepada Tabung Bantuan Khas Banjir Surau As Sobirin Bank Islam 12168010016979. – SB

Beginilah keadaan jalan utama yang menghubungkan Kampung Limau Kasturi dengan kampung-kampung lain yang hampir terputus akibat banjir baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here