Rombakan Kabinet: Dr Latiff, Rina, Halimah antara disebut bakal digugurkan

0
582

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengadakan perbincangan empat mata dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagi membincangkan rombakan Kabinet membabitkan dua Menteri dari parti tersebut.

Memetik laporan Suara TV, beliau dikatakan tidak berpuas hati dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang gagal memainkan peranan berkesan semasa bencana banjir baru-baru ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) yang terletak di bawah portfolio Dr Abd Latiff dikritik hebat kerana gagal memainkan peranan berkesan mengkoordinasi operasi menyelamat dan memberi bantuan semasa bencana banjir.

Selain Abd Latiff, antara nama lain dari Bersatu yang dijangka digugur dari kabinet ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang mencetuskan kontroversi apabila penularan video yang menampakkan seolah-olah beliau berlakon membersihkan kawasan banjir yang telah bersih.

Satu nama dari UMNO yang dijangka digugurkan ialah Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang menjadi kontroversi kerana memberi penjelasan kepada ahli Parlimen mengenai agihan peruntukan RM100 juta Unit Transfomasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran mahu Halimah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana menimbulkan kekeliruan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Unit Transformasi India Malaysia (Mitra).

Menurut Kula Segaran, Halimah telah memberitahu Dewan Rakyat pada 17 November bahawa beliau akan memberi taklimat kepada Ahli Parlimen mengenai pengeluaran dana itu, yang bertujuan untuk golongan miskin.

Namun, taklimat tersebut tidak dibuat sehingga Dewan Rakyat ditangguhkan pada pertengahan Disember lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here