[VIDEO] Dugaan 2021

0
521

SELURUH rakyat Malaysia mengharapkan tahun 2021 menjadi satu harapan baharu bagi memberi sedikit cahaya di dalam kegelapan setelah melalui keperitan angkara penularan wabak Covid-19 sepanjang 2020.

Namun, tahun 2021 tidaklah indah seperti yang diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia apabila kita turut berdepan dengan berbagai peristiwa besar tidak kira dari krisis pandemik yang semakin meningkat sehingga bencana alam yang melumpuhkan banyak tempat di seluruh negara.

Berikut rangkuman peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di Malaysia sepanjang tahun 2021:-

1) Angka kes Covid-19 meningkat pada awal tahun 2021


Seluruh rakyat Malaysia mampu tersenyum lebar ketika negara ini sudah hampir menang apabila mencapai sifar kes tempatan pada 1 Julai 2020 setelah beberapa bulan memerangi wabak berkenaan dengan efektif.

Namun, disangkakan panas hingga ke petang, kes harian Covid-19 di Malaysia semakin meningkat ketika kita semakin hampir di penghujung tahun 2020 sehingga mencecah empat angka malah sehingga lima angka pada pertengahan 2021.

Pembukaan tirai tahun 2021 dikejutkan dengan Malaysia memecahkan rekod angka kes harian Covid-19 tertinggi buat kali pertama dengan 2,593 kes pada 6 Januari lalu.

Angka berkenaan terus meningkat dan memecahkan rekod demi rekod sehingga yang tertinggi setakat ini adalah 23,564 kes positif pada 20 Ogos 2021.

2) PICK beri harapan pulihkan krisis kesihatan Malaysia

Kegusaran rakyat Malaysia terhadap peningkatan kes positif Covid-19 sedikit sebanyak disuluh dengan cahaya harapan baharu apabila kumpulan vaksin pertama Pfizer-BioNTech selamat mendarat ke tanah air pada 21 Februari 2021. Susulan itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 26 Februari lalu.

Menerusi kecekapan PICK di bawah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu, kadar vaksinasi negara merupakan antara yang terpantas di dunia pada Julai lalu.

Setakat hari ini, sebanyak 57,515, 286 dos sudah diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia dengan 25, 609, 301 penduduk sudah lengkap dua dos vaksinasi.

3) Varian Delta resahkan rakyat Malaysia

Peningkatan kes positif harian yang mendadak tahun ini adalah selari dengan kemunculan varian Delta di negara ini apabila varian berkenaan dilaporkan sebagai varian paling dominan di Malaysia pada 6 Ogos lalu.

Setakat ini, negara mencatatkan kes positif tertinggi varian yang lebih ganas itu adalah sebanyak 515 kes dalam masa seminggu iaitu sebanyak 515 kes sejak 25 November sehingga 2 Disember 2021.

4) Malaysia jalani ‘total lockdown’

Malaysia terpaksa menghadapi penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) atau ‘total lockdown’ bermula 1 Jun sehingga 14 Jun lalu selepas mengambil kira jumlah kes harian melebihi 8,000 dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

Bagaimanapun PKP 3.0 itu beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan negara (PPN) pada 28 Jun 2021 dan diteruskan sehingga 8 Ogos lalu apabila sebahagian sektor sosial dan ekonomi dibenarkan untuk beroperasi seperti sedia kala untuk individu lengkap vaksinasi.

5) Kemelut politik, Muhyiddin letak jawatan

Tidak cukup dengan krisis kesihatan yang mencengkam rakyat di negara ini, orang-orang politik pula sanggup menggugat kedudukan kerajaan yang sedang bertungkus lumus ingin menyelamatkan rakyat daripada Covid-19.

Segalanya bermula apabila Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos lalu yang diketuai oleh presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Perikatan Nasional (PN).

Susulan itu, Muhyiddin bersama-sama 29 Menteri Kabinet kerajaan PN meletakkan jawatan pada 16 Ogos 2021 setelah kehilangan majoriti berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

6) Kemalangan ragut 10 nyawa sekaligus

Malaysia dikejutkan dengan kemalangan tragis yang meragut 10 nyawa termasuk 8 kanak-kanak apabila sebuah treler merempuh tiga buah kereta yang berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ pada 18 Disember lalu.

Pemandu treler terbabit didakwa pada 21 Disember lalu dan dilaporkan mengaku tidak bersalah selepas 10 pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Faizah Abdul Sani.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 bagi setiap satu pertuduhan dengan syarat lesen memandu digantung dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan.

7) Banjir besar landa Semenanjung Malaysia

Bencana banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia menjadi penutup kepada tahun 2021 yang sangat menyayat hati.

Hujan tanpa henti yang melanda beberapa tempat di Lembah Klang dan Selangor serta negeri seperti Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu telah menyebabkan banjir.

Banjir berkenaan setakat ini telah mengorbankan 48 nyawa dan ribuan lagi kehilagan tempat tinggal dan harta benda.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here