Prestasi kerajaan merosot, negara menuju kegagalan, kata Mahathir

0
281

MASA depan negara akan terus merosot sekiranya individu yang terpalit dengan rasuah masih diberi peluang menubuhkan kerajaan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam perutusan Tahun Baharu 2022, beliau turut memberitahu situasi ini boleh menyebabkan prestasi kerajaan merosot dan negara menuju ke arah kegagalan.

Beliau berkata, ini kerana suasana politik dalam negara semakin buruk dan tiada ahli politik yang berminat untuk memajukan negara dan rakyat.

“Jika ada sekalipun, mereka ini tidak akan diberi peluang terutama apabila seseorang itu menolak rasuah. Pada ketika ini, pentadbiran negara masih belum dipulih dengan baik kerana ramai mengadu tertekan dengan tuntutan rasuah.

“Lebih membimbangkan mereka yang dipertanggungjawab membanteras rasuah disyaki terlibat sama. Inilah hasil daripada amalan rasuah oleh pemimpin tertinggi dan mereka dipilih menjadi menteri atau pengarah urusan kerana menyokong pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut kecewa berhubung cara kerajaan menangani banjir besar yang melanda beberapa negeri baru-baru ini.

Katanya, kerajaan pada hari ini tidak memiliki idea untuk membantu rakyat termasuk ada kalangan menteri bercuti di luar negara ketika rakyat dalam kesusahan.

“Mereka yang berada dalam negara pula tidak turun membantu rakyat, yang turun sekalipun lebih utamakan bergambar untuk dilaporkan dalam media.

“Kita tidak perlu pengalaman tetapi apabila malapetaka berlaku kita cuba tolong dan redakan keadaan. Sebenarnya rakyat yang bertungkus-lumus keluar untuk menghulur bantuan, bukan sahaja untuk membersih tetapi juga membekal makanan secara percuma.

“Sesiapa pun boleh menjadi menteri walaupun tanpa sebarang kelulusan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here