Remaja perempuan mengaku salah dera budak 16 bulan

0
517

SEORANG remaja perempuan dan lelaki mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas kesalahan mendera kanak-kanak berusia 16 bulan pada Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Afiq Abdullah, 23, dan remaja perempuan berusia 18 tahun itu membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersamasama- pada 3 Ogos hingga 25 Ogos melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di kepala, mata, badan dan tapak kaki kanak-kanak berusia 16 bulan.

Kejadian itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Felda Bukit Jalor, Tampin.

Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Norma menjatuhkan hukuman 24 bulan penjara dan mengenakan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun ke atas Muhammad Afiq.

Remaja perempuan itu pula diperintahkan ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 tahun mengikut Seksyen 76 Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here