Warga emas laku persetubuhan luar tabii dengan kambing betina dipenjara 6 tahun

0
262

SEORANG warga emas dijatuhi hukuman penjara selama 6 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor pada Jumaat setelah disabit kesalahan melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina di belakang rumah jirannya, Julai lalu.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas Shaari Hasan, 60, selepas beliau mengaku bersalah ketika sebutan semula kesnya.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes cabul untuk diletakkan di bawah pengawasan polis selama selama setahun selepas keluar dari penjara selain mendapatkan khidmat kaunseling.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, hakim berkenaan menyoal punca kematian kambing berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Noor Harun menyatakan ia adalah disebabkan kegagalan paru-paru.

Dalam prosiding itu, tertuduh juga mengesahkan barang kes termasuk gambar kambing, pakaian miliknya yang dirampas ketika kejadian iaitu sehelai baju T berwarna hijau dan seluar panjang berwarna coklat, yang ditunjukkan kepada oleh jurubahasa mahkamah.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang di sini pada 1.33 tengah hari, 27 Julai lalu.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam, Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dari tarikh tangkap dengan alasan tertuduh menyesal dengan perbuatannya selain hukuman berpatutan terhadap tertuduh.

“Tertuduh merupakan warga emas dan tinggal sebatang kara, memandangkan seksyen ini memperuntukkan hukuman sebat, mohon hukuman itu (sebat) tidak dikenakan berikutan tertuduh merupakan seorang warga emas,” kata peguam itu.

Menurut fakta kes, kejadian itu disedari oleh seorang wanita berusia 45 tahun yang terdengar bunyi mengembek dari kandang kambing yang terletak di belakang rumahya.

Wanita berkenaan mendapati seorang lelaki yang dikenalinya berada dalam keadaan separuh bogel, bangun dari sebelah kambing miliknya ketika wanita itu pergi memeriksa kandang kambingnya.

Menyedari kehadiran wanita tersebut, suspek telah bertindak untuk melarikan diri dan hasil pemeriksaan mendapati kambing betina yang menjadi mangsa lelaki itu telah mati–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here