[VIDEO] Penduduk Kuala Krai lancar Misi Bantuan Balas Budi untuk mangsa banjir Selangor

0
466

BAH Kuning yang melanda negeri Kelantan tujuh tahun lalu disifatkan sebagai bencana banjir terbesar dan terburuk dalam sejarah negara sehingga telah menjejaskan rakyat di negeri itu terutamanya penduduk-penduduk Kuala Krai.

Namun, dengan bantuan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas pada ketika itu sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

Bagi membalas budi mereka yang banyak membantu masyarakat di Kuala Krai ketika bencana banjir itu, penduduk-penduduk di daerah berkenaan telah melancarkan satu misi bantuan yang dikenali sebagai Misi Balas Budi Banjir 2014 Anak Kuala Krai-Selangor.

Menurut penaung Barracuda Adventure Group Kuala Krai, Mohd Fadir Hazmi, dia bersama-sama pasukannya dengan kekuatan sebanyak 103 buah kenderaan pacuan empat roda serta 11 buah lori telah tiba di Hulu Langat, Selangor sekitar jam 3.30 pagi tadi.

Katanya, Misi Balas Budi Banjir 2014 itu dibuat bagi meringankan beban rakyat di beberapa negeri yang terjejas teruk dengan musibah banjir.

“Seolah-olah kita terpanggil lah untuk menghulurkan bantuan. Kita tergerak hati kerana dulu pun kita teruk kena (banjir) dan pihak luar seperti Selangor turun membantu kita. Kali ini mereka pula terjejas teruk sama seperti banjir 2014 di Kuala Krai dahulu. Jadi ini giliran kami hulur bantuan untuk mereka.

“Jadi kita menghulurkan bantuan sumbangan keperluan asas kepada mereka yang kebanyakkannya telah mengalami kerosakan teruk. Ini semua untuk memudahkan mereka memulakan hidup baharu mereka,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Pasukan Misi Balas Budi Banjir 2014 Kuala Krai-Selangor ketika menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana banjir di Hulu Langat, Selangor. Foto-Ihsan Fadir

Menurutnya, selain Baracudda Adventure Team, misi tersebut turut disertai oleh NGO Task Force Sukarelawan Kuala Krai, serta warga-warga Kuala Krai dengan kerjasama daripada Raja Rimba Adventure Team Hulu Langat dan juga Sekolah Rendah Dusun Tua.

Selain itu, misi bantuan mereka yang dirancang dalam masa tiga hari itu turut mendapat sokongan penuh daripada Ahli-ahli Parlimen Kuala Krai dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Krai.

“Pada asalnya dalam kiraan kita hanya dalam 50 buah kenderaan sahaja, namun ia bertambah kepada 70 buah dan 103 buah pada saat akhir sebelum kita bertolak petang semalam,” ujarnya.

Menurut Fadir, pasukan yang terdiri daripada lebih 250 orang itu telah dipecahkan kepada dua kumpulan masing-masing di Hulu Langat dan Shah Alam bagi menyampaikan sumbangan serta aktiviti pembersihan.

Fadir berkata, sumbangan yang rata-ratanya disumbangkan oleh penduduk Kuala Krai itu telah mula dikumpulkan sehingga pagi Rabu lalu yang berpusat di sebuah kedai cuci kereta berhadapan Agro Bank Kuala Krai.

Foto- Ihsan Fadir

“Sambutan daripada warga Kuala Krai sangat luar biasa. Kami juga berpuas hati dan berjaya melaksanakan misi kami untuk menyampaikan sumbangan daripada warga Kuala Krai.

“Kita memutuskan untuk menyambung pusat pengumpulan barang bantuan itu. Kita akan menyambung misi ini ke daerah-daerah lain yang memerlukan,” katanya lagi.

Tambahnya, pasukannya bercadang untuk meneruskan misi ini untuk membantu mangsa banjir di sekitar Pahang seperti Mentakab dan Temerloh setelah selesai menghulur bantuan di Hulu Langat dan Shah Alam.

“Kemudian kami akan pulang ke Kelantan untuk ambil lagi barang-barang bantuan dan meneruskan misi Bantuan Balas Budi 2.0 ke beberapa lagi kawasan yang memerlukan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Fadir memaklumkan misi Bantuan Balas Budi Banjir 2014 yang bermul sekitar jam 8 pagi tadi di Selangor berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan baik oleh penduduk setempat.

“Alhamdulillah setakat ini tujuan dan misi kami telah tercapai dan hampir selesai untuk kerja pengagihan sumbangan dan kerja mencuci. Begitu juga dengan pasukan kami di Shah Alam.

“Mangsa-mangsa juga kata mereka sangat terharu dengan kehadiran kami menghulurkan bantuan ini,” ujarnya.—SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here