Tiada PRK untuk DUN Kempas – Speaker DUN Johor

0
509

TIADA Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas meskipun terdapat kekosongan dengan pemergian penyandangnya Datuk Osman Sapian, semalam, kata Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat. 

“Oleh kerana telah lebih tiga tahun sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lepas dan tiada isu majoriti DUN Johor dengan kelebihan satu kerusi di pihak kerajaan, maka mengikut Fasal 23(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor (maka), tiada PRK di Kempas,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau yang kini mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah, turut menyampaikan takziah  kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, Osman menewaskan Ramlee Bohani dari Barisan Nasional dan Dzulkefli Suleiman (PAS) dengan majoriti 9,178 undi, untuk memenangi kerusi DUN tersebut menerusi tiket Bersatu. 

Beliau juga pernah menyandang kerusi yang sama selepas memenangi kerusi tersebut menerusi tiket Umno pada Pilihan Raya Umum ke-10, ke-11 dan ke-12.

Osman, yang juga bekas Menteri Besar Johor itu, meninggal dunia di rumah anak lelakinya di Damansara, pada Rabu, pukul 11.45 malam pada usia 69 tahun. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here