Tiada masalah makan makanan dimasak bukan Islam – Dr. Zulkifli

0
620

MUSIBAH banjir yang menimpa baru-baru ini membuat ramai individu dan organisasi turun padang untuk membantu mangsa banjir yang terjejas termasuklah penganut agama Sikh menerusi persatuan mereka, Gurdwara Sahib Petaling jaya.

Namun, segelintir warganet mempersoalkan bantuan makanan yang dimasak oleh Gurdwara untuk mangsa banjir, justeru persoalan adakah halal bagi seseorang Muslim makan makanan yang dimasak oleh seseorang bukan beragama Islam dibangkitkan di media sosial Twitter.

Mengulas isu tersebut, agamawan dan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tidak ada masalah untuk makan hidangan yang disediakan bukan Muslim selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka.

“Hal ini terpakai dalam isu agihan bantuan, atau rumah terbuka yang sudah pasti saudara kita yang berlainan agama majoritinya faham konsep halal.

“Adapun bagi kedai makan, carilah yang ada logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Itu bermakna ia adalah dijamin dari segi syarak dan kualiti kebersihan,” katanya menerusi Twitter.

Beliau turut sempat meninjau proses penyediaan juadah untuk mangsa banjir daripada dapur sehinggalah ke meja bungkusan di Gurdwara Sahib Petaling Jaya, hari ini.

Menurut Dr. Zulkifli, inisiatif itu dilihat sebagai konsep ‘seva’ melalui agama Sikh iaitu khidmat sukarela sama seperti konsep Islam iaitu ‘ikhlas’ dimana perbuatan yang dilakukan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Saya mengenali agama Sikh melalui konsep “seva” iaitu khidmat sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan.

“Penganut Sikh mengamalkan diet vegetarian. Ini bermakna, mereka sama sekali tidak menjamah daging. 

“Hukum Muslim memakan makanan daripada bukan Muslim yang bukan ahli kitab adalah dibolehkan selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Ustaz Mohamad Dhiyauddin Abdul Kadir pula berkata, status Muslim atau tidak, bukan menjadi kayu ukur sesuatu makanan yang dimasak itu halal atau haram.

“Yang menjadi ukurannya ialah zat dan bahan ketika masak. Kalau orang Islam masak daging babi, ia tetap haram. Kalau orang bukan Islam masak ayam, sayur, nasi, ia tetap halal.

“Waktu tak darurat pun kita boleh makan apatah lagi waktu semua orang tidak kira bangsa dan agama sedang dilanda bencana alam,” katanya di Twitter. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here