Buruh ditahan jadi penghantar pil yaba

SEORANG buruh ditahan dan merampas 10,000 pil yaba bernilai RM100,000 selepas polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Bayu Lalang Banggol Chicha, Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Lelaki itu, 33, ditahan di bahagian dapur rumah dan pemeriksaan ke atas beg silang suspek di atas lantai menemui 2,000 biji pil yaba.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, polis turut menemui 8,000 pil sama dalam bungkusan baju hujan.

Menurut beliau, suspek dipercayai menerima upah sebanyak RM1,000 setiap kali penghantaran dilakukan ke lokasi yang ditentukan.

“Suspek tidak mengaku dadah yang bernilai RM100,000 ditemui dalam rumah itu adalah miliknya ketika soal siasat dilakukan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, suspek mengaku mengambil upah sebagai penghantar dadah daripada seorang individu dikenali sebagai Din dan mendapat upah sebanyak RM1,000 seminggu.

“Suspek memberitahu, kebiasaan penghantaran dilakukan sebanyak satu hingga dua kali seminggu,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Nasaruddin berkata, serbuan di Kampung Tujuh, Tumpat membawa kepada penangkapan Din yang berusia 35 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil soal siasat awal, suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan telah mengarahkan suspek pertama dikenali sebagai Keriuntuk mengambil dan menghantar dadah kepada pelanggan lain.

“Upah akan dibayar setelah kerja itu diselesaikan dan Din turut mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Yoe yang tinggal di sekitar Rantau Panjang.

“Semasa serbuan dilakukan, polis tidak menjumpai barang salah di dalam dan luar kawasan rumah suspek,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.