Putar belit sejarah, Jung Hae In & Jisoo BlackPink jadi sasaran kemarahan

0
817

BARU sahaja ditayangkan namun drama terbaharu Korea, Snowdrop nampaknya menjadi punca kemarahan sebahagian besar penduduk di negara berkenaan sejak beberapa hari yang lalu.

Snowdrop yang dilakonkan oleh Jung Hae In dan Jisoo daripada kumpulan BlackPink itu menaikkan amarah penduduk di sana kerana dikatakan memutar belitkan fakta sejarah negara berkenaan.

Sebaik sahaja tayangan bermula, ada gerakan yang dibuat oleh sekelompok penonton yang mahu tayangan drama berkenaan dihentikan serta merta.

Malah mereka melancarkan petisyen Blue House mendesak tayangan tersebut ditamatkan yang sehingga ke hari ini sudah mengumpulkan lebih 200,000 tandatangan.

Berlatarkan sejarah pada tahun 1987, Snowdrop bukan sahaja menjadi perdebatan umum tetapi juga ada yang menganggap Jung Hae In dan Jisoo tersalah pilih produk yang memburukan nama mereka.

Dalam satu temuramah media di sana, Jung Hae In ditanya adakah dia mengetahui tentang sejarah yang berlaku pada tahun tersebut.

Dia yang lahir setahun kemudian menjawab mengetahui tentang sejarah tersebut tetapi tidak melalui sendiri peristiwa berkenaan.

“Ada banyak karya yang dibuat dalam kerangka waktu itu, tetapi saya pikir jawapan sebenarnya ada di naskah itu sendiri. 

“Setelah membaca naskah secara menyeluruh, saya boleh membayangkan gambarannya dalam kepala saya,” ungkapnya.

Jawapan tersebut bukan sahaja menjadi perdebatan umum tetapi juga ada yang menganggap pelakon ini tidak sensitif dengan sejarah negara sendiri.

Kontrovesi yang melanda Snowdrop turut ‘berjangkit’ kepada penaja apabila beberapa syarikat sudah menyatakan hasrat untuk menarik semula tajaan yang sudah dilakukan.

Salah satunya adalah syarikat Nut’s Shake yang juga merupakan penaja utama drama ini.

“Kami menjadi penaja projek tanpa mengetahui isinya kerana kami diberitahu bahawa drama ini akan mendapat publisiti yang baik,” ujar wakil syarikat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Meskipun mereka belum memperincikan tentang drama berkenaan, pihak penaja sudah meminta produksi drama itu memadamkan nama mereka pada bahagian kredit bermula episod ketiga.

Langkah tersebut juga telah diikuti oleh beberapa syarikat lain yang mahu menarik semula tajaan kerana merasakan mereka juga bakal menerima impak buruk di kemudian hari.

Namun, sebahagian besar peminat menganggap apa yang berlaku bukanlah kesalahan Jung Hae In mahupun Jisoo. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here