[VIDEO] Sokongan pengundi muda fokus Bersatu hadapi PRU-15

0
455

SOKONGAN pengundi muda yang akan mula didaftarkan secara automatik bermula 1 Januari 2022 akan menjadi penentu parti mana yang akan menguasai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Susulan itu, Presiden Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, amat penting untuk parti yang dipimpinnya itu bagi memberi perhatian untuk menyusun strategi bagi memperlihatkan perjuangan parti itu kepada golongan pengundi muda.

“Saya diberitahu, lebih tujuh juta pengundi baharu. Kawasan saya di Pagoh contohnya, ketika ini mempunyai lebih 51 ribu pengundi. Dengan adanya pengundi muda yang akan didaftarkan kelak, saya telah mendapat maklumat bahawa Parlimen Pagoh akan bertambah lebih 16 ribu pengundi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan penggulungan Presiden Parti pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin ketika memberikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021, hari ini.

Katanya, angka berkenaan adalah kira-kira 25 peratus daripada bilangan pengundi yang sedia ada di Parlimen Pagoh.


“Maka usaha perlu kita susun dari sekarang supaya mereka yang berusia 18 tahun ke atas itu dapat melihat perjuangan Bersatu sekaligus menarik minat dan sokongan mereka.

“Dengan sokongan itulah, sudah tentu ia akan menentukan parti mana yang akan menang dan membentuk kerajaan selepas PRU-15 yang akan datang,” ujarnya.

Justeru, beliau menegaskan bahawa dengan kehadiran pengundi muda yang akan keluar mengundi pada PRU-15 nanti akan memberikan perubahan yang besar kepada situasi semasa politik negara ketika ini.

“Kita tidak boleh andaikan bahawa keputusan yang lepas akan kekal begitu kecuali kita menguruskan soal Undi-18 itu,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Rang Undang-Undang (RUU) penurunan had umur mengundi dari 21 tahun menjadi 18 tahun telah diluluskan di peringkat Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga pada Julai 2019, 10 hari selepas diluluskan di peringkat Dewan Rakyat.

Pada 6 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi-18 menjelang 31 Disember ini.

Susulan itu, pendaftaran automatik pengundi 18 tahun telah ditetapkan bermula 1 Januari 2022 setelah Kabinet memutuskan tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak bagi menghargai peranan anak mudadi dalam mencorakkan arah tuju demokrasi negara. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here