Jurutera, Penolong Juruukur JKR tidak mengaku salah terima rasuah

0
573

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG Jurutera dan seorang Penolong Juruukur Bahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Mersing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menerima rasuah yang semuanya berjumlah RM14,000, pada hujung 2019.

Jurutera berkenaan, Mohd. Idham Mokhtar, 38, dan juruukur tersebut, Mohd. Sukrizal Mohd. Shukor, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Idham didakwa menerima wang berjumlah RM9,000 menerusi akaun Maybank miliknyadaripada seorang individu berusia 44 tahun melalui akaun bank milik syarikat individu tersebut.

Kesalahan dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Ismail, Mersing, pada 19 November 2019.

Sementara tertuduh kedua, Mohd. Sukrizal, menerima wang berjumlah RM5,000 menerusi akaun Maybanknya daripada individu sama melalui akaun bank milik syarikat individu berkenaan.

Tertuduh ada hubungan dengan tugas rasminya sebagai Urusetia Jawatankuasa bagi kerja pembaikan apron lantai bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembaga Endau selain kerja pembaikan dinding dan lantai akibat mendapan di Sekolah Mengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu.

Kerja-kerja turut melibatkan pembaikan bumbung dan siling bagi empat blok bangunan di SMK Ungku Hussin selain kerja pembaikan bumbung serta kerja berkaitan di SK Triang, Mersing.

Kesalahan dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Pusat Perdagangan, Jalan Bandar, Pasir Gudang, pada 28 Disember 2019.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suhaili Sapun dengan tertuduh diwakili peguam iaitu Rosli Kamaruddin, Zahir Rosli dan Zaim Rosli.

Mahkamah kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 setiap seorang dan masing-masing dengan seorang penjamin, sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Januari tahun depan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here